BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 1,263 liter cecair dan 300 gram daun ketum yang dianggarkan bernilai RM12,365 dilupuskan berhampiran kawasan pondok polis Sungai Lembu, Machang Bubok, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kesemua barang kes tersebut merupakan barang rampasan yang melibatkan keseluruhan 229 kes penyalahgunaan ketum yang disiasat sejak tujuh tahun lalu.
Jelas beliau, siasatan melibatkan kes penyalahgunaan ketum itu juga diambil tindakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
Katanya, siasatan mendapati jumlah barang kes yang dilupuskan itu boleh menampung kegunaan seramai 2,527 pengguna tegar air ketum sekiranya terlepas ke pasaran.
“Daun serta cecair ketum disahkan mengandungi ‘mitragynine’ oleh Jabatan Kimia yang mana bahan itu dikategorikan sebagai racun di bawah Jadual Pertama dan bahan psikotropik di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952.
“Memiliki bahan ini secara salah adalah tertakluk di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak lebih daripada empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, bahan ketum terbabit dilupuskan menerusi kaedah tanaman seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 25 iaitu Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-Bahan Psikotropik) 1989.
Jelasnya, pelaksanaan pelupusan itu turut mendapat nasihat serta pandangan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri di sini selain dibuat secara berperingkat.
“IPD Seberang Perai Tengah adalah IPD kedua yang menjalankan pelupusan barang kes melibatkan ketum pada tahun ini dalam usaha mengatasi masalah lambakan barang kes di stor-stor yang berkaitan di setiap daerah,” katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, seramai 240 individu ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang melibatkan 125 kertas siasatan iaitu antara Januari hingga Mei tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes atau kira-kira 65 peratus daripadanya dituduh di mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai turut membantu polis dalam membasmi penyalahgunaan dadah dan ketum dengan menyalurkan maklumat berkaitan.










