Kasturi, Rambai jinakkan 'si liar' - Utusan Malaysia

Kasturi, Rambai jinakkan ‘si liar’

KAKITANGAN Perhilitan menjalankan kerja-kerja memindahkan gajah liar di Kampung Batu Pengasah, Durian Burung, Padang Terap. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Penduduk di Kampung Batu Pengasah, Durian Burung di sini yang berada dalam ketakutan terhadap ancaman seekor gajah liar yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman mereka sejak sebulan lalu berakhir apabila haiwan itu ditangkap dan dipindahkan, hari ini.

Gajah jantan liar seberat tiga tan dari Hutan Simpan Ahneng di sini ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah pada Ahad lalu dan dipindahkan ke Hutan Belum, Gerik, Perak.

Pengarahnya, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, operasi memindahkan gajah liar yang berusia kira-kira 30 tahun itu bermula dari pukul 9 pagi hingga 1 petang, hari ini.

Menurutnya, dua ekor gajah betina yang dikenali dengan nama Kasturi dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (​PKGK), Kuala Gandah, Pahang digunakan sebagai denak bagi membawa gajah liar itu keluar dari hutan tersebut.

“Operasi memindahkan gajah liar itu mengambil masa empat jam dan gajah itu bertindak agresif semasa cuba dibawa keluar dari kawasan hutan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Pengasah, Durian Burung di sini.

Jamalul berkata, pihaknya mengharapkan penduduk di kampung itu lega dan merasa selamat untuk keluar ke kebun getah masing-masing selepas gajah liar itu berjaya ditangkap.

Seorang penduduk, Aziz Md. Daud, 57, dari Kampung Baru di sini berkata, penduduk di kampung itu mulai takut untuk keluar menoreh getah dan ke dusun buah-buahan selepas kemunculan gajah liar tersebut.

“Pada minggu lalu beberapa pokok-pokok tanaman seperti durian dan pisang yang ditanam oleh penduduk telah dirosakkan oleh gajah liar itu. Penduduk kampung berterima kasih kepada Perhilitan Kedah kerana berjaya menangkap gajah liar itu,” katanya.

Tambahnya, dia mengharapkan tiada gajah liar lain yang memasuki kampung ini untuk merosakkan tanaman penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN