Jangan bimbang jika masih belum terima tarikh janji temu vaksin - Utusan Malaysia

Jangan bimbang jika masih belum terima tarikh janji temu vaksin

DR. NOOR Azmi Ghazali menunjukkan tanda bagus ketika meninjau proses pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang warga emas di Hospital Pantai Penang, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Orang ramai yang sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang jika masih belum menerima tarikh janji temu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan memberi jaminan mereka akan menerima tarikh tersebut apatah lagi negara kini sedang menerima tambahan bekalan vaksin dalam kuantiti yang besar khususnya bulan depan.

Malah beliau turut melahirkan keyakinan proses pemberian vaksin kepada rakyat dapat dipercepatkan antara bulan depan dan Ogos ini seperti disasarkan kerajaan.

“Orang ramai jangan bimbang dan jangan takut, asalkan sudah mendaftar dengan MySejahtera, mereka akan dapat tarikh janji temu vaksin itu.

“Sebabnya kita bukan hanya menyasarkan 80 peratus rakyat mendapatkan vaksin malah pekerja asing pun kita akan beri vaksin,” katanya selepas meninjau operasi pusat pemberian vaksin (PPV) hasil kerjasama hospital swasta di Hospital Pantai Penang di sini hari ini.

Dr. Noor Azmi ditanya mengenai keluhan orang ramai yang sehingga kini masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin meskipun sudah mendaftar menerusi MySejahtera sejak Februari lalu.

Sementara itu jelas beliau, proses pemberian vaksin kepada rakyat juga akan dipercepat dan diperluaskan khususnya kepada penduduk di pedalaman dan mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan suntikan menggunakan vaksin satu dos iaitu CanSino.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Noor Azmi berkata, kerajaan menyasarkan 75 hospital swasta akan terlibat sebagai PPV menjelang hujung bulan ini.

Setakat ini jelas beliau, sebanyak 67 hospital swasta sudah menyatakan kesediaan untuk dijadikan PPV dengan tujuh daripadanya terletak di Pulau Pinang.

Selain itu jelasnya, sehingga kini kira-kira 2,500 pengamal perubatan am swasta (GP) sudah berdaftar sebagai PPV dengan 441 daripadanya sudah mula beroperasi.

“Sasaran kita menjelang hujung bulan ini sekurang-kurangnya 1,000 GP dapat digerakkan untuk memberikan vaksin dan kita menyeru lebih ramai pakar-pakar perubatan dan GP ini supaya tampil dan bersama-sama membantu kerajaan supaya proses pemberian vaksin kepada rakyat dapat dipercepatkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya