Ini kira testosteron tinggikah? - Utusan Malaysia

Ini kira testosteron tinggikah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU ini heboh cerita pasal jadilah ‘bodoh sikit’ untuk dapat jodoh dan khabarnya ada akaun-akaun media sosial yang telah di ‘block’ gara-gara penyokong tegar pakar motivasi itu membuat aduan pada pengendali laman sosial. Betulkah begitu?

Bersungguh betul itu. Pakar motivasi berkenaan pun sudah memohon maaf dan menganggap ia satu salah faham. Diharapkan ia dapat dijadikan pengajaran. Janganlah yang lain jadi lebih sudu dari kuah pula.

Sebenarnya cakap-ca­kap pakar motivasi ini tak usahlah kita hendak angkat melambung, layan dan ambil hati sangat. Mereka pun ma­nusia biasa, ada segala rasa – sedih, kecewa, kesal, gembira, ada kelemahan dan khilaf.

Hidup ini pun tak akan nak berpandukan pada kata-kata pakar motivasi saja. Semua orang ada ujian hidup masing-masing. Cakap-cakap saja, suruh buat itu ini memang senanglah, nak hadap ini diri sendiri.

Ada pakar motivasi yang dia pun perlu mendapatkan motivasi daripada orang lain. Ada yang hanya pandai bercakap berdegar-degar tetapi diri sendiri pun susah hendak buat apa yang dia sering cakapkan itu. Ini biasa.

Dan paling terbantut niat saya hendak melihat ‘live’ beberapa pakar motivasi ini dalam media sosial, apabila mereka banyak kali sangat mengingatkan penonton agar tolong tekan emoji loves, like banyak-banyak dan kongsi dalam FB. Saya pun terus tutup. Habis cerita.

Pakar motivasi pun ada yang pernah hari ini cakap lain, esok lusa cakap lain. Ini pun biasa juga.

Jika sebelum ini dia juga­lah pernah bercakap wanita yang paling malang adalah berkahwin dengan orang yang salah dan menasihati wanita agar berhati-hati dalam memilih suami, hari ini dia minta pula wanita yang masih belum kahwin itu tengok apa karakter yang tak kena pada diri sendiri sebab jodoh lambat?

Inilah isu yang menaikkan kemarahan wanita yang be­lum berkahwin, macam ada yang ‘tidak kena’ kepada mereka pula dan diminta buat bodoh sikit dan lemah lembut untuk disukai lelaki, namun pakar motivasi itu menegaskan pembaca tidak dapat membaca apa yang tersirat.

Soal hormati imam kita, kepimpinan lelaki dalam rumah tangga, isteri jangan nak menguasai rumah tang­ga, saya rasa semua pun bersetuju dengan profesor ini. Ini ajaran agama Is­lam untuk menjamin keba­hagiaan dunia dan akhirat kelak. Dia cuma jadi panas bila meminta wanita yang lambat kahwin ini melihat karakter mereka kenapa susah sangat dapat jodoh.

Sedangkan soal jodoh itu kerja Tuhan. Lambat atau cepat tidaklah bergantung pada karakter wanita itu. Senang cerita, yang pandai pun berkahwin yang bodoh pun kahwin juga. Yang baik dan jahat pun kahwin juga. Karakter bukan penentu.

Saya ada ramai kawan yang masih belum berkahwin dalam usia 40-an. Lelaki dan wanita. Hakikatnya, mereka okay saja tak perlu nak jaga testosteron atau estrogen.

Seorang lelaki pernah ber­cerita pada saya, dia tidak memilih perempuan cantik tetapi asalkan perempuan itu berpengetahuan dan belajar tinggi.

“Kau bayangkan, kalau dia tak tahu isu-isu semasa. Tak mati kutu ke masa keluar nanti? Tak kan aku nak dengar cerita pasal warna gincu je kot?” katanya.

Baginya, rupa tak penting. Yang utama, wanita itu boleh ‘masuk’ bersembang macam-macam topik hinggalah ke hal politik dan bola sepak.

“Letihlah dapat isteri buat-buat bodoh ini. Lelaki sekarang suka wanita yang cekap. Kalau boleh tahu serba-serbi. Bukan hendak mereka berdikari sangat.

“Asal boleh pergi kedai lampu dan tukar sendiri lampu terbakar atau pasang gas dapur yang dah habis, itu dah cukup ok. Ni kalau dua hari suami out station, dua hari bergelap dan tak masak, ini memang betul-betul masaklah!” kata seorang lagi kawan kepada saya bila mengulas isu ini.

Pada saya, yang suka buat bodoh ini orang lelaki. Isteri tak beri keluar malam, lepak mamak masa zaman sebelum PKP, dia buat bodoh, pergi juga.

Isteri tak beri pergi meman­cing atau main golf, dia buat bodoh pergi juga dan isteri minta basuh cawan atau pinggan selepas makan, dia buat bodoh lambakan juga dalam sinki. Tapi menurut salah seorang kawan saya di ITM Shah Alam dulu, dia rasa menyesal pula menunjuk pandai boleh masak macam-macam daripada lauk pauk hingga ke kuih muih.

“Sampai sekarang isteri aku tak masak, asyik aku saja masak. Ni nak kira testosteron aku tinggi ke macam mana?” soalnya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN