Imigresen gempur tapak pembinaan haram, tangkapan terbesar 309 PATI - Utusan Malaysia

Imigresen gempur tapak pembinaan haram, tangkapan terbesar 309 PATI

SEBAHAGIAN PATI ditahan dalam operasi di sebuah kawasan tapak pembinaan rumah kediaman di Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Imigresen menggempur sebuah kawasan tapak pembinaan rumah kediaman pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilengkapi kedai mini menjual barangan basah dan kering dalam satu operasi bersepadu malam tadi.

Perumahan yang dibina berhampiran lombong itu juga lengkap dengan bekalan elektrik dan air yang dipercayai disambung secara haram bagi kegunaan harian PATI terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Nepal, Indonesia, India dan Vietnam.

Turut dibina di perkampungan haram berkenaan ialah kedai kopi serta kawasan santai untuk mereka berehat.

Namun aktiviti harian mereka terbongkar selepas 309 daripada 715 yang diperiksa, ditahan dalam operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain selepas mendapat aduan dan maklumat masyarakat setempat.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia seramai 193 orang, Bangladesh (102), Myanmar (lapan), Vietnam (empat) dan India (dua) yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 52 tahun.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 280 ialah lelaki manakala 29 lagi wanita warga Indonesia kerana kesalahan tiada dokumen dan tinggal lebih masa.

“Sebanyak 406 warga asing lain dibebaskan kerana mempunyai dokumen lengkap.

“Dalam operasi itu, kita turut memeriksa 10 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan hasil semakan dua daripadanya adalah kad palsu manakala lapan lagi dibebaskan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan, terdapat sekumpulan warga asing bertindak agresif merempuh pagar dalam usaha melarikan diri namun gagal apabila dicekup pegawai penguat kuasa.

“Kawasan penempatan ini juga didapati kotor kerana tiada sistem kumbahan dan perparitan sempurna menyebabkan air kumbahan bertakung serta mengalir dalam kawasan kediaman.

“Ini adalah tangkapan terbesar dilakukan Jabatan Imigresen tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, PATI yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya bagi menjalani ujian saringan Covid-19 serta siasatan lanjut.

“Mereka kemudian akan ditahan di pusat tahanan sementara di Semenyih sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing jika didapati bersalah manakala majikan yang menggaji PATI ini akan disiasat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Akta 446,” katanya.

Operasi dilakukan secara bersepadu itu membabitkan 189 anggota dan pegawai terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, JTKSM, Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam bermula 12.30 malam hingga 1.30 pagi.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya menjalankan 80 operasi pemeriksaan dan tangkapan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 hingga 15 Jun lalu.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 2,314 warga asing diperiksa dengan 217 PATI ditahan dan dibawa ke depoh tahanan reman selama 14 hari sementara menunggu majikan menyerahkan dokumen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya