i-Citra: MTUC bimbang  ‘krisis sosial pekerja pencen’ - Utusan Malaysia

i-Citra: MTUC bimbang  ‘krisis sosial pekerja pencen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mempunyai perancangan atau kaedah bagi menaikkan kembali jumlah simpanan persaraan pekerja yang berkurangan berikutan pengeluaran melalui program i-Lestar dan i-Sinar.

Ditambah dengan pengeluaran kali ketiga, i-Citra berjumlah RM5,000 seperti diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, pencarum yang belum lagi menghampiri usia persaraan dilihat akan mengeluarkan sejumlah RM21,000 daripada simpanan mereka.

Perkara itu dibimbangi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor yang memaklumkan kegagalan menaikkan semula simpanan memberi kesan jangka panjang.

Katanya, jumlah simpanan itu kini bergantung kepada pencarum sama ada akan mengeluarkan duit simpanan hari tua mereka lagi sekali atau sebaliknya.

“MTUC dimaklumkan bilangan pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000 adalah seramai 900,000 orang. Data ini amat merisaukan dan mendesak KWSP mencari kaedah bagi menambah simpanan pencarum. 

“Kesan jangka panjang kepada pencarum adalah selepas pencen dan akan menimbulkan ‘krisis sosial pekerja pencen’,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menghargai usaha kerajaan memperkenalkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Terdahulu, Kamarul Baharin menzahirkan kebimbangan terhadap pencarum yang kemungkinan tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan dan meminta kerajaan mencari alternatif lain bagi membantu rakyat terkesan dengan pandemik.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pemberian moratorium secara automatik dan menyifatkannya sebagai langkah wajar untuk membantu semua lapisan rakyat yang terjejas dan berharap tiada caj tambahan atau tersembunyi wujud di sebalik kemudahan itu.

“Langkah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat amat dihargai. Ini adalah selari dengan perkongsian keuntungan syarikat kepada rakyat.

“MTUC mengharapkan tiada caj tambahan atau caj tersembunyi di dalam moratorium automatik ini yang akan dikenakan kepada peminjam. Bank-bank tidak boleh mengambil kesempatan atas kesempitan peminjam yang terkesan dengan pandemik ini,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kerajaan meringankan beban majikan dengan meneruskan Program Subsidi Upah (PSU 4.0) selama tiga bulan lagi untuk mengelakkan peningkatan jumlah pengangguran. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya