GEORGETOWN: “Ambil apa sahaja yang diperlukan, jangan malu”.
Demikian pesanan Pengurus Bahagian Sumber Manusia Hotel Bahang Bay dan Vouk Hotel Suite, Latifah Salim yang bertanggungjawab menyelia bank makanan yang diletakkan di empat cawangan hotel dikendalikan The Blanket Hotel Sdn. Bhd. itu.
Menurut Latifah, bank makanan berkenaan yang dimulakan awal bulan ini merupakan inisiatif The Blanket Hotel bagi membantu pekerja industri perhotelan serta orang ramai yang memerlukan bantuan makanan ketika pandemik Covid-19.
Katanya, sebelum ini setiap bulan pihaknya akan menyerahkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan di kawasan berhampiran empat cawangan hotel milik The Blanket iaitu The Merlin Hotel (cawangan Georgetown), The Blanket Hotel (Seberang Jaya), Bahang Bay Hotel (Teluk Bahang) dan Vouk Hotel Suites (Jalan Sultan Ahmad Shah).
“Kali ini kami perluaskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dengan menyediakan bank makanan di dalam hotel kerana mahu lebih ramai orang tampil mendapatkan keperluan mereka.
“Kami dapati masih ramai yang berasa malu untuk memohon bantuan, jadi di bank makanan yang disediakan ini orang ramai boleh datang mengambil keperluan mereka tanpa melalui banyak prosedur,” katanya di sini hari ini.
Latifah berkata, antara barang keperluan yang diletakkan di bank makanan itu adalah beras, sardin, gula, roti dan sebagainya.
Jelas beliau, pihaknya akan menambah barangan yang diletakkan di bank makanan itu dalam tempoh seminggu sekali.
“Setakat ini, lebih 20 kilogram beras yang diletakkan di Vouk Hotel Suites telah diambil oleh mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, kesemua barangan keperluan itu disumbangkan sepenuhnya oleh The Blanket Hotel Sdn. Bhd. dan pihaknya turut mengalu-alukan jika ada yang mahu menyumbang bekalan makanan untuk diletakkan di bank makanan tersebut.
“Ketika ini ramai yang berdepan tekanan kewangan tetapi malu untuk mendapatkan bantuan, jadi bank makanan adalah tempat terbaik untuk membantu mereka,” katanya.










