PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan itu boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300.
“Kerajaan akan memperuntukkan RM125 juta melalui HRD Corp. untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.
“Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30,000 orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20,000 pencari pekerja dalam ekonomi gig,” katanya dalam perutusan khas pengumuman bantuan itu, hari ini. – UTUSAN ONLINE