PETALING JAYA : “Sayu dan sebak”.
Demikian gambaran perasaan pendakwah popular, Ebit Lew ketika memulakan misi kemanusian dan pengagihan bantuan kepada penduduk Palestin sebaik sahaja dibenarkan masuk ke Gaza semalam.
Menurut Ebit, hatinya berasa pilu setelah menyaksikan sendiri nasib kesengsaraan rakyat Palestin ekoran serangan bertalu-talu tentera Zionis Israel pada bulan lalu.
Namun perkara yang menyentuh hatinya ketika menziarahi satu keluarga terdiri ibu tunggal dan tujuh anak kecil termasuk seorang bayi setelah bapa mereka terkorban akibat serangan bom pada baru-baru ini.
“Masa mula sampai semua sedih, tetapi apabila saya tengok anak kecil ini hati jadi tidak tahan nak menangis. Saya dah sebulan belum jumpa anak isteri dan keluarga pun dah terasa sayu, inikan pula anak kecil ini kehilangan ayah mereka, tetapi masih boleh tersenyum.
“Mereka seronok bila kami bawa hadiah, terus semua senyum. Saya sempat bermain-main kapal terbang dengan anak-anak ini. Saya kemudian bawa terus ke keluarga ini ke rumah Kasih Umat dan berikan sedikit sumbangan untuk mereka dan ibu tunggal yang lain.
“Insya-Allah ada cikgu yang menjaga dan menguruskan tempat ini, kami akan bayar gajinya,” kata Ebit menerusi Facebook beliau hari ini.
Semalam, pendakwah popular itu berjaya memasuki Gaza, Palestin untuk meneruskan misi kemanusian dan mengagihkan bantuan kepada rakyat negara tersebut.
Ebit memaklumkan, beliau telah menyewa dua buah rumah untuk dijadikan tempat jagaan anak-anak yatim mangsa peperangan di samping sebagai lokasi kelas aktiviti pendidikan mereka.
“Saya menangis melihat anak-anak ini, kecil lagi setiap hari hidup dengan peperangan. Saya tidur malam di sini terfikir risau juga inikan pula anak-anak ini sepanjang hidup melalui hidup diuji begini,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ebit memanjatkan syukur kepada Allah kerana diberi peluang berbakti di bumi Palestin dengan memberikan tempat tinggal dan makanan serta bantuan.
“Ya Allah terasa bersyukur sangat dapat buka kasih umat di Gaza, Palestin dan beribu orang kehilangan rumah tempat tinggal, kelaparan, kehilangan orang tersayang.
“Allahu Akbar. Berat rasa hati. Ketika saat saya sendiri dalam diberi pelbagai nikmat. Ya Allah ampunkanlah diriku ini,” kata Ebit.
Beliau kemudian menzahirkan junjungan kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sama membantu menjayakan misi kemanusian itu.
“Terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra serta kepada semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan.
“Terima kasih juga Palestine Red Crescent Society. Terima kasih yang sentiasa mendoakan dan bersama misi ini,” kata Ebit. – UTUSAN ONLINE