SABAK BERNAM : Dua anggota polis bersama tiga suspek kes dadah cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, kedua-dua anggota polis terbabit sedang dalam perjalanan ke Mahkamah Kuala Selangor untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 34 tahun hingga 51 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, kejadian berlaku ketika van jenis Scania dipandu anggota polis dari cawangan pengangkutan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam itu hilang kawalan sebelum terbabas ke tengah jalan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba van terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke tengah jalan dan melanggar penghadang konkrit yang berada di tengah jalan.
“Kenderaan terbabit berpusing sebelum memasuki ke laluan arah bertentangan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Agus, akibat kejadian itu, pemandu kenderaan terbabit di hantar ke Hospital Sabak Bernam manakala anggota polis cawangan pengiring IPD Sabak Bernam dan tiga lagi suspek lain dibawa ke Hospital Tanjong Karang.
Ujarnya, akibat kejadian itu, salah seorang suspek patah pada bahagian kaki kiri dan luka di kepala, seorang lagi luka di kaki dan berjahit manakala suspek seterusnya luka pada kening bahagian kiri manakala dua anggota polis berkenaan masih menunggu keputusan x-ray.
“Kejadian itu mengakibatkan kenderaan mengalami kerosakan cermin depan, cermin pintu kiri dan kanan, pecah pada bahagian belakang dan bumper hadapan, pintu sliding dan bahagian kanan belakang remuk,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










