SEREMBAN: Dua lelaki dipercayai bertindak sebagai ‘penghantar kurier’ daun ketum menggunakan lori ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di susur keluar sekatan jalan raya (SJR) Seremban-Port Dickson di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, suspek pada mulanya cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mendakwa lori yang dibawa berisi muatan ikan sebaliknya pemeriksaan menemukan daun ketum yang diisi dalam bekas polisterin.
“Suspek seorang pemandu lori berusia 36 tahun dan seorang lagi suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis pada pukul 3 pagi tadi.
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis berjaya menemukan sebanyak 23 kotak polisterin mengandungi 345 kilogram daun berwarna hijau disyaki daun ketum bernilai RM10,350,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Said, siasatan awal mendapati suspek datang dari Merbau, Kedah dengan tujuan menjadi penghantar kurier daun ketum kepada seorang individu dipercayai berada di Port Dickson.
“Pihak polis masih menyiasat sama ada suspek telah biasa melakukan kerja tersebut atau baru pertama kali.
“Kami dapati pemandu lori tersebut mengambil upah menghantar daun ketum dan bayaran dikenakan masih dalam siasatan,” katanya.
Jelas Mohd. Said, kedua-dua suspek juga didakwa menunjukkan surat kebenaran perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun taktik itu tidak berhasil.
“Mereka beranggapan dengan menunjukkan surat MITI boleh lepas, malangnya suspek ditahan dan didapati menyalahgunakan surat tersebut yang mana hanya perjalanan membawa barang-barang keperluan dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar prosesur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.










