GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam perbuatan individu tidak bertanggungjawab meracun 10 ekor monyet sehingga mati di kawasan perumahan di Paya Terubong, di sini.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, perbuatan meracun haiwan berkenaan merupakan tindakan yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Tidak ada yang berhak meracuni makhluk hidup, apatah lagi meracuni monyet yang tinggal di dalam hutan.
“CAP mengecam perbuatan kejam ini kerana ia merupakan satu pembunuhan ke atas makhluk yang tidak berdosa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Subbarow, kebanyakan haiwan liar termasuk monyet tidak mempunyai tempat tinggal setelah manusia menceroboh kawasan hutan.
“Kita memusnahkan hutan dan membina penempatan atas nama pembangunan, namun haiwan liar tidak mempunyai tempat tinggal lagi.
“Jadi haiwan liar termasuk monyet terpaksa keluar daripada hutan untuk mencari makanan tetapi dihalau dan diracuni manusia,” katanya.
Tambahnya, CAP meminta orang ramai melaporkan kepada Jabatan Perhilitan sekiranya terdapat gangguan melibatkan haiwan liar seperti monyet di kawasan mereka, bukannya meracuni haiwan berkenaan.
“Jabatan Perhilitan boleh mengambil tindakan dengan menangkap monyet ini dan melepaskannya di kawasan lain agar tidak mengganggu orang ramai,” katanya.










