Alam sekitar bersih, biodiversiti faktor Kenaboi masih zon hijau? - Utusan Malaysia

Alam sekitar bersih, biodiversiti faktor Kenaboi masih zon hijau?

JALAN Kuala Klawang-Genting Peras di sempadan daerah Jelebu dan Hulu Langat yang ditutup dengan batang kayu dan batu penghadang bagi mengelakkan ke kenderaan melalui kawasan itu bagi tujuan merentas negeri.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Mukim Kenaboi di daerah ini adalah antara kawasan yang masih kekal sebagai zon hijau tanpa merekodkan sebarang kes positif Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Antara faktor yang dikatakan menjadi penyumbang kepada ‘rekod baik’ itu adalah kerana biodiversiti dan Kenaboi itu dikelilingi kawasan alam sekitar yang bersih.

Pegawai Daerah, Abdul Rahim A. Aziz menjelaskan, mukim Kenaboi sememangnya kawasan yang bersih malah sumber biodiversiti yang ada juga berkualiti.

“Di situ airnya bersih, udara dan tanahnya baik. Apabila keadaan (penularan Covid-19) berlaku, Kenaboi dilihat sebagai lokasi yang masih kekal sebagai zon hijau. 

“Alam sekitar dan hutan yang sihat dan berkualiti secara langsung akan menjamin kesihatan manusia secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

 


KEADAAN alam sekitar yang bersih dan biodiversiti yang masih terpelihara di mukim Kenaboi dikatakan antara faktor kawasan itu masih kekal sebagai zon hijau dan bebas daripada penularan Covid-19.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, pihaknya sentiasa memperingatkan kepada penduduk supaya sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) supaya Covid-19 tidak menular di mukim berkenaan.

“Menggunakan kenderaan pacuan empat roda, kami sentiasa memaklum dan memperingatkan kepada penduduk kampung hampir setiap minggu supaya mereka sentiasa mengikut SOP.

“Pihak MPKK sentiasa ingatkan mereka untuk memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial. Bagaimanapun, timbul kerisauan kepada kami kerana orang luar yang keluar masuk ke mukim ini termasuk mereka menceroboh menerusi Jalan Kuala Klawang-Genting Peras di sempadan Jelebu- Hulu Langat, Selangor,” katanya.

Sehubungan itu, Rosmadi memaklumkan, pihaknya juga mengambil peranan membantu dengan menambah penghadang supaya jalan sempadan Jelebu-Hulu Langat itu tidak dicerobohi.

“Setiap kali meninjau kawasan ini, kami dapati ada sahaja batu penghadang yang dialihkan pengguna jalan raya terutama yang menaiki motosikal. 

“Kami telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyediakan batu penghadang tambahan di situ,” katanya lagi.

Sementara itu, jelasnya, terdapat 15 buah kampung yang berada dalam mukim Kenaboi dan dibahagikan kepada dua MPPK iaitu MPKK Kampung Chennah dan MPKK Kampung Puom. 

“Di Kampung Chennah melibatkan 10 kampung rangkaian iaitu empat buah kampung orang Asli, sebuah kampung baru Chennah (perkampungan Cina) dan lima buah perkampungan Melayu. Di Kampung Puom pula terdapat lima buah rangkaian perkampungan Melayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.