KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Sabah mengambil inisiatif membantu kerajaan mendaftarkan lebih ramai penerima vaksin melalui perkhidmatan bergerak.
Ketika ini, perbezaan fahaman politik harus diketepikan bagi memastikan usaha mencapai imuniti berkelompok di Sabah dapat dicapai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, pejabatnya sudah menjalankan perkhidmatan bergerak sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Melalui perkhidmatan bergerak ini, pasukannya membantu rakyat mendaftar secara terus melalui aplikasi MySejahtera. Disamping itu, pendaftaran secara manual juga turut dilakukan.
Ini antara usaha yang diambil oleh Ketua Wanita DAP Sabah ini bagi memastikan lebih ramai penerima vaksin di kawasan DUN Kapayan mendaftar sebagai penerima.
“Bagaimanapun, sejak PKP 3.0 berkuat kuasa, saya hanya menghantar nama-nama warga emas yang belum mendapat tarikh janji temu kepada Pejabat Daerah Penampang. Cara ini juga berkesan kerana nama-nama yang dihantar itu berjaya mendapatkan tarikh janji temu untuk menerima vaksin,” katanya.
Tambah Jannie, sekiranya dilihat pecahan pendaftaran, daerah yang mencatatkan pendaftaran terendah adalah di kawasan Nabawan, Kunak, Beluran, Telupid, dan Lahad Datu iaitu pada kadar 15 peratus daripada jumlah penerima.
“Kita tahu penduduk di daerah sebegitu tinggal di kawasan terpencil dan tiada capaian internet untuk mendaftar melalui MySejahtera. Untuk itu, kerajaan harus menggerakkan ketua-ketua adat dan pemimpin di peringkat kampung untuk membantu penduduk di kawasan mereka mendaftar secara manual,” katanya.
Bagi pejabat Parlimen Papar, pasukan bergerak turut diwujudkan bagi membantu penduduk yang tiada akses kepada MySejahtera berdaftar secara manual.
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, pasukan itu sudah digerakkan sebelum PKP 3.0 dilaksanakan bagi membantu penduduk di daerah itu berdaftar sebagai penerima vaksin.
“Pasukan ini sudah mengambil maklumat penerima secara manual untuk didaftarkan ke dalam laman web. Jika sudah ada tarikh janji temu, penerima akan dimaklumkan melalui panggilan telefon,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kerajaan negeri sedang memperhebatkan usaha dan strategi memastikan 2.9 juta rakyat Sabah menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang hujung tahun ini.
Untuk itu, kerajaan negeri sudah mula menggerakkan 26 pasukan melaksanakan program outreach ke kawasan pedalaman bagi mendaftarkan dan seterusnya memberikan vaksin kepada penduduk di pedalaman.
Kelmarin, program jiwa murni turut diadakan di Long Pasia, Sipitang dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Long Pasia terletak kira-kira 250 kilometer dari Kota Kinabalu adalah lokasi pertama bagi pelaksanaan program itu.
Disamping itu, program jangkau luar komuniti juga sudah digerakkan oleh Jabatan Penerangan Sabah bersama tiga agensi negeri dan persekutuan lain untuk memastikan penduduk di pedalaman berdaftar sebagai penerima vaksin.










