PUTRAJAYA: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berharap Menteri Kewangan mempertimbangkan kelonggaran dalam urusan percukaian.
Langkah tersebut dijangka memberi kelegaan kepada ramai pembayar cukai korporat yang meliputi syarikat dan individu untuk memastikan pusingan aliran tunai dapat kembali lancar.
“Lanjutan pembayaran ansuran cukai secara bulanan diharap boleh diteruskan sehingga 31 Disember ini untuk melicinkan aliran tunai perniagaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kelonggaran itu wajar diberikan kepada pembayar cukai fail CP204 iaitu syarikat sendirian berhad dan CP500 iaitu individu yang terkesan teruk akibat situasi ekonomi lemah ketika ini.
ACCCIM merupakan perkumpulan 17 anggota dewan daripada 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan ditubuhkan sejak 1921 yang mewakili lebih 100,000 syarikat dan usahawan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion oleh Perdana Menteri semalam.
ACCCIM memohon menteri berkenaan agar urusan pembayaran cukai dimuktamadkan jika ada, dibuat dalam bentuk ansuran empat kali selama tempoh empat bulan.
“Pembayar cukai ini sepatutnya tidak wajar dikenakan penalti akibat kelewatan dan ansuran sebanyak empat kali itu dijangka memberi peluang membuat pusingan aliran tunai,” jelasnya.
Pada masa sama, ACCCIM berharap moratorium automatik tanpa syarat selama enam bulan yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut meliputi usahawan kecil dan sederhana.
Ini termasuk syarikat bersaiz pertengahan yang juga terjejas akibat impak pandemik Covid-19 dan sebahagian besar mereka tidak dibenar beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh.
Inisiatif sedemikian jelasnya, mampu membolehkan usahawan dan syarikat terbabit menyerap kos operasi yang perlu ditanggung selama ini seperti gaji pekerja, bil utiliti dan sewa premis.
“Kami yakin segala geran tunai, pinjaman dan pelbagai dana yang disasarkan pihak kerajaan ini dijangka membantu usaha memulihkan kembali peniaga untuk bangkit semula,” katanya.
Secara keseluruhan, ACCCIM menyifatkan pengumuman Pemulih sebagai tepat pada masa negara dan rakyat memerlukan bantuan segera kerajaan sejajar Pelan Pemulihan Negara.