PUTRAJAYA: Seramai 600 kakitangan Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PjH) menerima dos vaksin pertama Covid-19 di bawah program perintis Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hashimah Hashim berkata, inisiatif itu melibatkan petugas seksyen pembinaan, tanaman dan perkhidmatan hospitaliti daripada kumpulan berisiko tinggi.
“Mereka dianggap kelompok yang mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19 termasuk semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini,” katanya di sini.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada program Trak Vaksinasi Bergerak MYMedic@Wilayah dilaksanakan kementerian bagi mempercepatkan usaha imunisasi pekerja sektor penting.
Inisiatif khas tersebut juga antara empat kaedah yang sedang dan akan segera dilakukan di lokasi terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Hashimah memberitahu, PjH menggalakkan semua kakitangannya agar mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan demi mencapai sasaran imuniti berkelompok.
PjH merupakan pemaju induk pusat pentadbiran kerajaan Malaysia dengan lebih 20 projek pembangunan urban terbesar di negara ini yang melibatkan pejabat, komersial dan kediaman.
Salah seorang penerima vaksin, Ketua Seksyen Pengurusan Projek 2, Zainal Abidin Abdullah, 53, berkata: “Saya sudah mendaftar dan tidak akan lepas peluang yang ditawarkan syarikat”.
Sementara itu petugas loji penyejukan gas daerah, Wan Raihanatun Wan Mohd. Halim, 44, berkata: “Saya bersyukur divaksin dan terima kasih kerajaan yang mengadakan program sebegini”.










