40 peniaga terjejas ribut dapat RM500, khemah baharu - Utusan Malaysia

40 peniaga terjejas ribut dapat RM500, khemah baharu

MOHD. Izhar Ahmad (tiga kanan) diiringi Che Zakaria Mohd. Salleh (empat dari kiri) menghulurkan sumbangan kepada peniaga yang terjejas akibat bencana ribut di tapak penjaja berhampiran Masjid Taman Rinting, Masai, Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Nasib menimpa kira-kira 40 peniaga di tapak penjaja berhampiran Masjid Taman Rinting, Masai di sini yang terjejas dalam kejadian ribut, Khamis lalu mendapat perhatian kerajaan negeri yang tampil memberikan bantuan kepada mereka.

Sumbangan itu diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh ketika bertemu kumpulan peniaga di tapak penjaja itu hari ini.

Dalam pertemuan itu, Mohd. Izhar menghulurkan sumbangan ‘one-off’ sejumlah RM500 manakala Che Zakaria memberikan bantuan khemah baharu kepada semua peniaga terjejas.

Che Zakaria berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban selain dijadikan modal untuk memulakan semula perniagaan yang dijalankan.

“Peniaga di sini juga meminta supaya dikecualikan bayaran tapak sewa kerana hasil jualan tidak begitu stabil ketika tempoh pandemik Covid-19.

“Selain itu, mereka turut meminta kebenaran untuk berniaga pada sebelah pagi Jumaat. Perkara ini akan kita pertimbangkan dan panjangkan kepada pihak berkenaan bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian ribut pada pukul 4.30 petang itu, hampir kesemua gerai rosak diterbangkan ribut namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, peniaga, Jurina Ramli, 41, berasa amat bersyukur dengan sumbangan tersebut selepas pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Maxis turut memberikan sumbangan pada Jumaat lalu.

Katanya, dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang itu, dia tidak sempat mengambil duit hasil jualan kuih lapis yang lenyap diterbangkan ribut termasuk khemah jualannya.

“Kejadian itu menyebabkan saya alami kerugian kira-kira RM600, habis semua diterbangkan angin kencang termasuk duit hasil berniaga. Kejadian berlaku begitu pantas sampai tidak sempat selamatkan apa-apa, hanya fikir untuk selamat diri masing-masing sahaja,” katanya.

Dia berkata, akibat ribut banyak khemah koyak dan rosak akibat kerangka besinya patah dan tidak boleh digunakan lagi selain barang niaga turut musnah.

Peniaga air kelapa muda, Hidayatullah Sidek, 34, pula berkata, gerainya turut musnah dan rosak dalam kejadian itu menyebabkannya alami kerugian kira-kira RM500.

Bagaimanapun dia bersyukur tiada kejadian buruk menimpa peniaga dalam kejadian berkenaan yang berlaku sekelip mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN