PUTRAJAYA: Sebanyak tiga kilang dan sembilan premis perniagaan diarah tutup semalam kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hasil pemeriksaan pasukan Task Force Operasi Pematuhan ke atas 1,902 kilang dan 11,478 premis perniagaan.
“Secara kumulatif, pasukan ini telah melaksanakan sejumlah 93,459 pemeriksaan di seluruh negara dengan kekuatan seramai 20,717 anggota,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, kerajaan akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan kilang dan premis perniagaan yang didapati banyak melanggar arahan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 527 peruncit, 160 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,027 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan cuma 15 premis daripadanya dikompaun.
Ismail Sabri menambah, operasi pemantauan tersebut mendapati, bekalan makanan dan keperluan harian adalah stabil serta mencukupi di peringkat rantaian peruncit dan pemborong.










