1MDB: Kerajaan terima RM336 juta daripada Deloitte PLT - Utusan Malaysia

1MDB: Kerajaan terima RM336 juta daripada Deloitte PLT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menerima bayaran sebanyak RM336 juta (AS$80 juta) yang didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Deloitte PLT iaitu sebahagian daripada penyelesaian berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga kini, akaun amanah di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara itu sudah menerima sebanyak RM16.386 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Jelasnya, jumlah di dalam akaun amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima daripada Kumpulan Ambank dalam masa terdekat. Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG.

“Setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC. Setakat 31 Mei lalu, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/keuntungan/faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.66 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC),” jelas kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baki semasa akaun amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun ini dan tahun depan.

“Setelah semua dana akaun amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui jaminan kerajaan dan surat sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan,” katanya.

Kementerian itu menjelaskan, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka.

Katanya, ia sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC, serta mereka yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti kebajikan (CSR).

“Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN