16,452 kes pecah rumah sepanjang PKP - Utusan Malaysia

16,452 kes pecah rumah sepanjang PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 16,452 kes pecah rumah dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu sehingga kelmarin.

Daripada tempoh tersebut, seramai 5,518 individu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, daripada jumlah keseluruhan yang diberkas, sebanyak 3,572 individu merupakan mereka yang tidak bekerja.

Katanya, pihaknya mendapati statistik bagi kesalahan pecah rumah menurun sebanyak 21.2 peratus (4,423) berbanding tempoh sama sebelum PKP dilaksanakan iaitu sebanyak 20,875 kes.

“Keadaan ini disebabkan kesan pelaksanaan PKP dengan kehadiran pasukan keselamatan dan penguat kuasa menjalankan rondaan secara berkala di banyak lokasi di seluruh negara sekali gus mengurangkan ruang aktiviti jenayah serta menghalang pelaku untuk melakukan jenayah.

“Walau bagaimanapun, jenayah pecah rumah dilihat sedikit meningkat apabila syarat diperlonggarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara berperingkat mulai 4 Mei 2020 sehingga 10 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abd. Jalil, ketika itu, sebanyak 1,167 kes dicatatkan berbanding tempoh sama sebelum PKPB iaitu 1,063 dengan peningkatan kira-kira 104 kes (9.8 peratus).

Jelas beliau, sehubungan itu, pihaknya memohon setiap lapisan masyarakat untuk bersama-sama mengekang kejadian jenayah di komuniti masing-masing.

“Masyarakat diingatkan untuk sentiasa memastikan rumah berkunci walaupun ketika berada dalam kediaman serta peka dengan persekitaran kejiranan sekiranya terdapat individu yang mencurigakan.

“Sentiasa berhati-hati dengan individu yang datang ke rumah untuk sesuatu urusan dan jika dilihat mencurigakan, segera lapor pada polis,” katanya.

Abd. Jalil berkata, pihaknya akan terus melipatgandakan usaha dalam pemantauan serta pencegahan ke atas jenayah pecah rumah dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat bagi mengekang jenayah ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya