MUAR: Sebanyak 1,000 surat kebenaran pergerakan telah dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membolehkan pekebun nanas melaksanakan pelbagai aktiviti pertanian.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kementerian terus komited membantu kumpulan itu untuk terus meningkatkan hasil jualan mereka meskipun negara ketika ini berhadapan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
“Surat kebenaran pergerakan dikeluarkan untuk memudahkan pengusaha dan pekebun nanas menjalankan aktiviti pertanian, pemasaran dan pemprosesan. Walaupun terdapat sedikit masalah pasaran oleh pekebun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, ia masih lagi terkawal dengan bantuan dan sokongan daripada LPNM.
“Untuk tempoh hampir sebulan ini, sebanyak 22 tan buah buah nanas telah dibantu dipasarkan oleh LPNM yang mana sekali gus memberikan kelegaan kepada pekebun terjejas demi memastikan hasil buah mereka terjual seperti biasa dan PKP 3.0 menunjukkan penurunan ketara masalah pasaran oleh pekebun berbanding PKP sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Pagoh hari ini..
Tambah Ronald, dalam tempoh PKP 3.0 sehingga kini, LPNM juga telah membantu menyediakan keperluan logistik bagi penghantaran dan pemasaran buah nanas oleh pekebun terjejas kepada peraih dan pemborong.
Sementara itu, mengulas mengenai kempen promosi makan nanas yang dilaksanakan oleh LPNM, beliau berkata, ia bertujuan mendidik rakyat Malaysia untuk mengamalkan pemakanan buah-buahan seperti nanas yang baik untuk kesihatan.
“Kempen ini juga bertepatan dengan amalan pemakanan sihat sebagai usaha meningkatkan sistem pertahanan badan terutamanya ketika pandemik.
“Malah, lebih penting adalah kempen ini dapat membantu pekebun-pekebun dan usahawan pemasar LPNM untuk meningkatkan lagi jualan hasil buah nanas mereka dengan peningkatan permintaan di pasaran,” katanya.
Terdahulu, dalam program berkenaan, MAFI melalui LPNM turut mengagihkan 1,000 kotak makanan mengandungi barang keperluan asas untuk diagihkan kepada penduduk Pagoh yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.