10 individu terlibat sindiket penipuan e-commerce ditahan - Utusan Malaysia

10 individu terlibat sindiket penipuan e-commerce ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket penipuan e-commerce dengan penahanan 10 individu dalam serbuan berasingan di empat negeri, semalam. 

Kesemua suspek terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia 21 hingga 52 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, Kelantan, Perak dan Kedah. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, siasatan mendapati sindiket yang beroperasi sejak Mac lalu dikesan mengiklankan barangan mereka melalui platform e-commerce. 

Katanya, pembeli yang berminat kemudian dihubungi dan diarahkan untuk berurusan secara terus dengan suspek namun selepas bayaran dibuat barangan dijanjikan tidak diterima.

“Antara barangan yang diiklankan mereka ialah PS4, telefon bimbit dan tablet. 

“Empat daripada suspek merupakan pemilik akaun manakala selebihnya pemilik alamat IP bagi menipu mangsa dan kesemua mereka daripada sindiket sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Kamaruddin, dalam serbuan itu, pihaknya unit merampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 kad kredit, tiga modem dan pasport Bangladesh. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

“Dengan penahanan ini kita percaya telah menyelesaikan 28 kes penipuan dengan kerugian RM50,000.

“Selain itu, sebanyak 4.364 kes dicatatkan pada tahun ini sehingga 21 Jun lalu,” ujar beliau. 

Mohd. Kamaruddin turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta tidak terpedaya dengan penjualan e-commerce. 

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan berurusan dengan platform e-commerce yang sah yang menyediakan perlindungan dan jaminan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN