KUALA LUMPUR: Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang didapati cuai semasa bertugas atau melakukan kesalahan sehingga menyebabkan kematian terhadap seseorang.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa telah diarah untuk memulakan siasatan secara menyeluruh mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan oleh perundangan negara berhubung kes kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan.
“KDN telah menerima satu memorandum berhubung kes kematian dalam tahanan yang diserahkan oleh Ahli Parlimen Selayang, Klang dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor iaitu dari Taman Templer, Sentosa dan Rawang pada 27 Mei 2021.
“PDRM juga bersedia untuk terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) mengenai penahanan suspek dalam lokap dari semasa ke semasa bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“KDN menengaskan bahawa segala siasatan berhubung kes-kes tersebut dilaksanakan dengan menyeluruh, adil dan telus berlandaskan lunas perundangan sedia ada,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu dikaitkan dengan laporan media sebelum ini, pada 11 Mac lalu, seorang ibu, S. Thanaletchumy kepada mendiang bernama A. Ganapathy membuat laporan polis berkenaan dakwaan anaknya dipukul dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.
Laporan itu dibuat selepas tiga hari Ganapathy dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Selayang pada 8 Mac dan disahkan meninggalkan dunia pada 18 April lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gombak menafikan dakwaan dan tiada bukti menunjukkan Ganapathy meninggal akibat dipukul ketika berada dalam tahanan malah mendiang tidak pernah mengadu dipukul polis walaupun dibawa ke mahkamah majistret sebanyak tiga kali untuk direman.
Ganapathy merupakan seorang peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusi lima dan tujuh. – UTUSAN ONLINE