Tiada potongan elektrik sehingga 30 Jun - Utusan Malaysia

Tiada potongan elektrik sehingga 30 Jun

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan tiada pemotongan bekalan elektrik di rumah-rumah yang mempunyai tunggakan tidak melebihi enam bulan sehingga 30 Jun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah katanya, keputusan terbabit dibuat selepas mengambil kira keperluan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekali gus memberi manfaat kepada 6.96 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

“Malah dalam usaha membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, Pelan Bayaran Mudah juga turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

“Ia diharap dapat membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar berkata, usaha ini juga adalah rentetan pada 21 Disember 2020 yang mana kerajaan bersetuju supaya tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil elektrik tidak melebihi enam bulan sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac 2021.

“Dalam masa sama, semua pengguna domestik turut ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu menguruskan bil elektrik mereka.

“Inisiatif ini diperkenal bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan penularan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun ini.

Keputusan itu yang dibuat berdasarkan trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, mengandungi larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan bagi mengekang penularan wabak dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya