Tencent mahu kekalkan pelaburan dalam Riot Games, Epic Games - Utusan Malaysia

Tencent mahu kekalkan pelaburan dalam Riot Games, Epic Games

Tencent yang mula melabur dalam JD.com pada 2014 berkata, masanya adalah tepat untuk memindahkan pegangannya. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tencent Holdings Ltd. sedang berunding dengan panel keselamatan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) yang akan membenarkan syarikat itu mengekalkan pemilikannya dalam syarikat permainan video Riot Games dan Epic Games.

Menurut sumber yang dekat dengan perkara itu, Tencent sejak separuh kedua tahun lalu telah berbincang dengan Jawatankuasa Pelaburan Asing AS (CFIUS) yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan gergasi teknologi China itu melepaskan pegangannya dalam syarikat AS.

CFIUS telah melihat sama ada pengendalian data peribadi pengguna oleh Epic Games dan Riot Games menimbulkan risiko keselamatan negara disebabkan pemilikannya dari China, kata sumber tersebut.

Tencent memiliki 40 peratus pegangan dalam Epic Games yang membangunkan permainan video popular, Fortnite.

Syarikat China itu turut membeli pegangan majoriti dalam Riot Games pada 2011 dan memiliki baki pegangan dalam syarikat itu pada 2015.

Riot Games merupakan pembangun antara permainan video berasaskan komputer meja paling popular, League of Legends.

Ketika ini, Tencent sedang berunding langkah pencegahan risiko dengan CFIUS agar syarikat itu boleh mengekalkan pelaburannya, menurut sumber tersebut. Walau bagaimanapun, perincian langkah yang dicadangkan tidak didedahkan.

Menurut Reuters, langkah itu kebiasaannya melibatkan mengecualikan pemilik sesebuah syarikat daripada operasi yang mempunyai implikasi keselamatan negara. Biasanya pengaudit bebas akan dilantik untuk mengawasi pelaksanaan perjanjian tersebut.

Satu daripada sumber berkata Epic Games tidak berkongsi apa-apa data pengguna dengan Tencent.

Sumber tersebut memberi amaran bahawa tiada kepastian yang Tencent akan memuktamadkan perjanjian untuk mengekalkan pelaburannya dan meminta untuk tidak dikenal pasti kerana perkara itu adalah sulit.

Tencent, Epic Games dan wakil CFIUS di Jabatan Perbendaharaan AS menolak untuk memberikan sebarang komen kepada Reuters.

Jurucakap Riot Games berkata, syarikat itu beroperasi secara bebas dari Tencent dan ia telah melaksanakan amalan peneraju industri untuk melindungi data pengguna.

Beliau bagaimanapun menolak untuk mengulas perbincangan Riot Games dengan CFIUS. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya