PUTRAJAYA: Malaysia menerima dua lagi penghantaran vaksin Covid-19 iaitu AstraZeneca dan CoronaVac (Sinovac Life Sciences Co. Ltd) berjumlah 1,059,200 dos sekali gus menyumbang untuk meningkatkan keupayaan kempen vaksinasi negara.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, bekalan itu tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini melibatkan sebanyak 559,200 dos AstraZeneca daripada tempahan yang dibuat melalui Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) Facility dan 500,000 dos vaksin CoronaVax.
Katanya, vaksin AstraZeneca tiba pada pukul 7.50 pagi dengan penerbangan MH6125 manakala vaksin CoronaVac tiba menerusi penerbangan MH361 pada waktu sama.
“Ketibaan bekalan ini menjadikan jumlah terkini vaksin AstraZeneca yang sudah diterima daripada Covax adalah 828,000 dos termasuk 268,800 stok sedia ada yang diperoleh sebelum ini.
“Vaksin ini seterusnya akan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Lembah Klang serta di tiga lagi negeri lain iaitu Pulau Pinang, Johor dan Sarawak yang baru sahaja menyertai Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca 5 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, CITF berkata, satu lagi penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca daripada Covax dengan jumlah yang sama iaitu 559,200 dos akan diterima pada hujung bulan ini.
Menurutnya, dos AstraZeneca yang diterima sehingga kini telah dipastikan berkualiti, selamat dan berkesan melalui pematuhan ke atas keperluan Lot Release,” katanya.
CITF turut memaklumkan, kadar vaksinasi mencatatkan peningkatan yang konsisten iaitu sebanyak 60,261 orang telah menerima vaksinasi mereka pada Isnin lalu sebelum meningkat kepada 76,551 (Selasa) dan 83,648 (Rabu).
Katanya, peningkatan pemberian vaksin akan mula disaksikan pada Jun nanti.
“Seperti yang telah diumumkan semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini berjalan mengikut perancangan.
“Kadar vaksinasi ke atas penduduk Malaysia akan terus meningkat sejajar dengan pertambahan bekalan vaksin yang bakal tiba dari semasa ke semasa,” katanya.- UTUSAN ONLINE