KUALA LUMPUR: Golongan perokok dua kali ganda berisiko mendapat pelbagai komplikasi seperti kegagalan pernafasan, buah pinggang dan hati sekiranya dijangkiti wabak Covid-19.
Negara bukan sahaja berdepan masalah komplikasi virus berkenaan, malah, kerajaan juga terpaksa menanggung beban akibat komplikasi seperti Electronic Cigarette and Vape Associated Lung Injury (EVALI).
Buktinya, berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap 5,889 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital pada 1 Februari 2020 sehingga 31 Mei 2020, rata-ratanya cenderung mengalami komplikasi lebih serius.
Justeru, Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch), Roslizawati Md. Ali berkata, kerajaan tidak wajar menggalakkan industri yang boleh mengancam nyawa rakyat negara ini atas alasan merancakkan ekonomi negara ketika masih berdepan dengan penularan Covid-19.
“Kos untuk merawat penyakit EVALI selama empat hari kemasukan ke wad adalah mencecah RM50,297.37 dan kos ini belum mengambil kira kos komplikasi sekiranya pengguna rokok elektronik atau vape dijangkiti Covid-19.
“Kajian terkini juga menunjukkan dwipenggunaan semakin meningkat dan beban kepada perkhidmatan kesihatan akan berganda. Oleh itu, dengan membenarkan tambahan produk seperti rokok elektronik dan vape di pasaran terbuka, bakal mengundang beban berganda kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu hadir bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MGLA), Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) 51 badan profesional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mengulas lanjut, Roslizawati berkata, industri rokok elektronik dan vape yang didakwa bakal memberikan impak ekonomi kepada negara dan menjadi sumber hasil baharu adalah tidak wajar dan tidak peka.
Ini selaras dengan situasi semasa negara yang terpaksa berdepan jumlah kes Covid-19 melebihi 7,000 kes sehari dan jumlah kematian melebihi 40 kes dalam satu masa.
“Hasil tembakau termasuk rokok merupakan produk sah yang didagangkan namun ia telah membunuh separuh daripada penggunanya. Betul produk kontroversi ini dikawal di bawah undang-undang malah tidak diharamkan.
“Oleh kerana ia tidak diharamkanlah, negara kini menanggung beban kos untuk merawat hanya tiga daripada penyakit akibat emrokok iaitu sebanayk RM2.9 bilion dan dijangka meningkat kepada RM7.2 biliong pada tahun 2022,” katanya.










