Peranan wakaf dalam pembangunan - Utusan Malaysia

Peranan wakaf dalam pembangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bersempena 1 Ramadan 1442H yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan 2021.

Dengan bertemakan “Wakaf untuk Kemakmuran Bersama”, majlis pelancaran itu telah menyaksikan pelancaran dana-dana berasaskan wakaf yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia.

Dana-dana ini, yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), diterbit berdasarkan rangka kerja yang menyeluruh dibawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Selain menggariskan peraturan yang perlu dipatuhi, rangka kerja ini juga turut memberi penekanan terhadap aspek pertumbuhan kewangan sosial Islam sebagai persediaan bagi memudahcara penawaran dana unit amanah Islam bercirikan wakaf kepada masyarakat.

Pada majlis pelancaran tersebut, antara dana yang telah dilancarkan adalah Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan yang diuruskan oleh pengurus dana, Kenanga Investors Berhad.

Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah dilantik sebagai Penasihat Syariah bagi memastikan dana tersebut diuruskan selari dengan kehendak pematuhan Syariah.

Jika dilihat dari satu sudut, pelancaran dana-dana ini merupakan satu titik penting dalam sejarah pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia. Ini kerana ia merupakan antara dana unit amanah terawal yang telah berjaya mengetengahkan konsep wakaf sebagai sebahagian ciri utama dana tersebut.

Hal ini jelas menjadi bukti akan kematangan dan kemajuan sistem kewangan Islam sedia ada dalam usaha untuk menjadikan instrumen wakaf sebagai antara tunggak utama pembangunan negara. Perkara ini boleh dicapai melalui kerjasama erat antara institusi-institusi terbabit sama ada di pihak kerajaan mahupun swasta.

Salah satu contoh menarik yang boleh dirujuk adalah bagaimana pembangunan Wakaf Siti dan Hajjah Norijah di Sungai Nibong, Pinang Pinang telah dilaksanakan.

Mulanya, tanah wakaf yang diwujudkan oleh ibu dan anak itu telah ditadbir sendiri oleh waris-waris mereka. Perniagaan telah dijalankan di atas tanah tersebut dan hasil keuntungan diagihkan di antara Masjid Jamek Sungai Nibong, waris dan pentadbir wakaf.

Meskipun apa yang dilakukan oleh pentadbir dapat memenuhi kehendak pewakaf, namun potensi tanah wakaf tersebut tidak dapat dizahirkan sepenuhnya.

Setelah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang mengambil alih peranan sebagai pentadbir yang baharu, potensi sebenar harta wakaf tersebut, sedikit sebanyak, telah dapat dicapai.

Dengan sokongan Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji, sebuah pangsapuri wakaf telah dibina. Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah menawarkan kadar sewaan yang lebih rendah berbanding harga pasaran dan menyediakan kediaman untuk golongan asnaf.

Walaupun tanah wakaf ini telah dibangunkan, hasrat asal pemberi wakaf masih lagi terpelihara dan dipenuhi. Hasil sewaan terus disalurkan kepada pihak masjid, waris dan pentadbir. Malah ia dapat memastikan kelestarian keuntungan yang dijana oleh harta wakaf serta dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pihak.

Pembangunan tanah wakaf Wakaf Siti dan Hajjah Norijah telah diterajui oleh institusi kerajaan. Walau bagaimanapun, pihak swasta juga, termasuk institusi kewangan Islam, boleh memainkan peranan dalam usaha membangunkan harta-harta wakaf di Malaysia.

Selain pangsapuri, hospital, pusat perniagaan dan hotel boleh dibina bagi menjana pendapatan harta wakaf.

Jika ia melibatkan projek berskala besar, produk-produk kewangan Islam termasuk sukuk boleh diterbitkan untuk mendapatkan dana.

Secara tidak langsung, usaha pembangunan wakaf mampu menjadi pemangkin untuk mewujudkan produk-produk kewangan Islam yang sangat sofistikated, berinovasi dan berdaya saing.

Peranan wakaf dalam pembangunan ini boleh diibaratkan bagai dayung sudah ditangan, perahu sudah di air. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya