Penutupan penuh ekonomi jejaskan FDI negara - Utusan Malaysia

Penutupan penuh ekonomi jejaskan FDI negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial dikhuatiri menyukarkan negara untuk menarik serta mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) terutama dalam sektor-sektor yang kini menyumbang kepada eksport negara

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan kini, sektor perniagaan terutama industri semikonduktor dan pembuatan sarung tangan masih berjalan seperti biasa bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat.

Ujarnya, rantaian global ini sudah tentu akan mencari alternatif lain selain dari Malaysia untuk menyelesaikan masalah bekalan yang terputus sekiranya negara melaksanakan penutupan penuh.

“Jika penutupan penuh dibuat, pelabur asing dan para pengilang berkemungkinan mengubah pusat produksi mereka ke negara lain seperti Vietnam yang kurang terjejas dengan Covid-19 dan mempunyai pengawalan pandemik yang lebih baik. 

“Sekiranya itu berlaku, secara tidak langsung perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang wujud di dalam rantaian nilai juga akan turut terjejas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Aimi Zulhazmi menjelaskan, kenaikan harga minyak kelapa sawit dan minyak mentah sejak beberapa bulan lalu memberikan impak positif kepada perdagangan negara dan penutupan penuh tentunya turut menjejaskan sektor-sektor tersebut apabila sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi. 

“Secara keseluruhan, pemulihan ekonomi negara seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melemah dan mungkin hanya dapat mencapai lima peratus sahaja tahun ini berbanding unjuran awal enam ke 7.5 peratus,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam usaha memerangi wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan, kerajaan harus mengadakan program bagi menyelamat dan membangunkan kembali setiap sektor ekonomi untuk jangka panjang.

“Perkara ini boleh dicapai dengan kerjasama pihak swasta untuk menarik semula pelaburan asing terutama dalam industri-industri yang berkembang pesat seperti logistik, farmasi, petrokimia dan teknologi maklumat (IT). 

“Selain itu, kerajaan perlu mengemukakan pelan dan strategi untuk menyelamatkan industri pelancongan, peruncitan, sukan, hiburan dan makanan yang terjejas teruk tanpa pembelaan dan sekiranya dibiarkan akan terus malap dan mati.

“Kita maklum bahawa jangkitan Covid-19 mungkin tidak akan hilang seawal yang diharapkan berikutan kelewatan vaksin dan kemunculan varian baharu yang lebih ganas. Oleh itu, kita perlu  lebih berhati-hati dalam menguruskan sumber kewangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya