Pelancaran sayap Warisan di Semenanjung Malaysia ditangguh - Utusan Malaysia

Pelancaran sayap Warisan di Semenanjung Malaysia ditangguh

LORETTO S. PADUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pelancaran sayap Parti Warisan Sabah (Warisan) di Semenanjung Malaysia ditangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan bencana banjir yang berlaku ketika ini.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata, mengambil kira situasi semasa, Warisan perlu menangguhkan pelancaran secara rasmi dan sekiranya keadaan kes Covid-19 kembali stabil, barulah pelancaran itu dilakukan.

“Kita tunggu dulu kerana sekarang ini PKP jadi sukar untuk berkumpul dan mengadakan pelancaran. Sekiranya ada pelancaran, pihak media akan dimaklumkan kelak.

“Ketika ini kes Covid-19 semakin meningkat dan di Sabah, kita dilanda banjir. Jadi, kita perlu memberi fokus untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Loretto tidak mendedahkan sekiranya ada nama-nama besar yang mungkin menyertai dan menyarung ‘jersi’ Warisan di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, perkara itu akan diumumkan sendiri menerusi ucapan perasmian Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika pelancaran itu nanti.

Sebelum ini timbul persoalan tentang kemungkinan pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bertanding atas tiket Warisan seandainya pendaftaran kedua-dua parti itu tidak diluluskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada 26 April lalu, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman menyatakan Warisan dijangka melancarkan sayap di Semenanjung Malaysia secara rasmi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, pelebaran sayap parti itu dipercayai dapat mengembangkan ideologi parti untuk menyatupadukan seluruh rakyat di negara ini. Pelancaran itu dijangka dilakukan di sekitar ibu negara pada tarikh yang belum ditetapkan.

Hasrat Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung ini sudah disuarakan oleh Mohd. Azis sejak Disember 2020 bagi membawa perjuangan perpaduan atau ‘Unity’ yang dibawa oleh parti itu ke peringkat nasional.

Kemudian pada 9 April, Mohd. Shafie memberi bayangan Warisan akan bekerjasama dengan Muda bagi melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Mohd. Shafie berkata, kerjasama dengan golongan muda perlu dibuat sekiranya ingin melakukan perubahan dalam negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.