Pegawai bank sahkan transaksi RM9.5j dalam akaun Muhammad Shafee

Dua pegawai bank sahkan transaksi wang RM9.5 juta ke dalam akaun Muhammad Shafee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memasukkan sejumlah RM9.5 juta ke dalam akaun peribadi peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah melibatkan dua transaksi berlainan masing-masing pada tahun 2013 dan 2014.

R. Uma Devi, 41, memberitahu, transaksi pertama melibatkan pengeluaran wang RM4.3 juta daripada akaun semasa milik bekas Perdana Menteri pada 11 September 2013 melalui cek yang mana baki sebelum pengeluaran adalah sebanyak RM73,400,019.

Menurut Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad itu yang merupakan saksi pendakwaan pertama, cek bertarikh 5 September 2013 itu ditandatangani oleh Najib selaku pemilik akaun.

Ketika membacakan pertanyaan saksi, Uma Devi berkata, transaksi kedua melibatkan cek sebanyak RM5.2 juta ditunaikan ke dalam akaun semasa Muhammad Shafee pada 17 Februari 2014.

Uma Devi berkata, beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar untuk mengemukakan maklumat akaun semasa milik Najib.

Menurut pegawai bank itu, beliau tidak mengetahui tujuan kedua-dua cek itu dikeluarkan kepada Muhammad Shafee.

Sementara itu, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku, Rosnita Ahmad, 41, berkata, beliau turut diminta oleh Mohamad Farid untuk mengemukakan maklumat akaun semasa tertuduh.

Menurut saksi pendakwaan kedua, semasa pembukaan akaun itu, Muhammad Shafee merupakan seorang peguam di firma guaman Tetuan Shafee & Co. dan akaun itu merupakan akaun peribadi.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Muhammad Shafee yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum 1 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 28 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya