Nilai semula kepelbagaian produk FMCG - Utusan Malaysia

Nilai semula kepelbagaian produk FMCG

KINI terdapat lambakan pelbagai jenis produk di pasaran pengguna di negara ini yang tidak memberi sumbangan signifikan kepada jualan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar barangan pengguna cepat laris (FMCG) harus menilai semula dan merasionalisasikan kepelbagaian produk mereka agar dapat memenuhi keperluan pengguna yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Firma penyelidikan pasaran, NielsenIQ dalam satu kenyataan memberitahu, kini terdapat lambakan pelbagai jenis produk di pasaran pengguna di negara ini yang tidak memberi sumbangan signifikan kepada jualan.

“Sebagai contoh, 76 peratus daripada unit simpanan stok (SKU) dalam kategori pencuci pakaian menyumbang kurang daripada dua peratus daripada jualan keseluruhan dalam kategori tersebut.

“Antara kategori lain yang memiliki lebihan varian tidak berprestasi termasuk minuman berkhasiat dan coklat, yang mana 75 peratus dan 74 peratus daripada keseluruhan SKU menyumbang kurang dua peratus daripada jualan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Naib Presiden Kanan dan Pemimpin Analisis di NielsenIQ, Didem Sekerel Erdogan memberitahu, selama bertahun-tahun, terdapat banyak pertambahan jenama, produk dan SKU di pasaran ketika pengeluar bersaing untuk memuaskan pengguna dengan pengenalan varian, produk dan pengalaman baharu.

Jelasnya, mencari dan mengekalkan kepelbagaian produk yang optimum sentiasa menjadi satu cabaran manakala pandemik serta persaingan yang semakin bertambah menjadikan perkara ini semakin sulit.

Ujarnya, bagi pengeluar dan peruncit, lebih banyak bukannya bermaksud lebih baik kerana pengeluar akhirnya perlu melabur dalam pengeluaran dan ruang rak di kedai untuk produk yang mungkin tidak mendorong kenaikan nilai jualan, sehingga margin keuntungan terjejas.

Sementara itu, Pengarah Urusan NielsenIQ Malaysia, Luca De Nard menjelaskan, dengan mengenal pasti dengan SKU mana yang perlu diberhentikan dan dikekalkan, pengeluar dapat memfokuskan usaha rantaian pengeluaran dan rantaian bekalan pada jenama serta SKU yang boleh mendorong kenaikan jualan.

“Hal ini akan mengurangkan pembaziran, meningkatkan keuntungan dan memberi ruang pelaburan untuk pembangunan produk baharu bagi menarik pembeli baharu.

“Ia merupakan satu kemenangan semua pihak termasuk pembeli, pengeluar dan peruncit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya