Malaysia utamakan keseimbangan nyawa, kelangsungan ekonomi tangani pandemik - PM - Utusan Malaysia

Malaysia utamakan keseimbangan nyawa, kelangsungan ekonomi tangani pandemik – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menekankan keutamaan yang diambil negara dalam mencapai keseimbangan antara melindungi kesihatan dan nyawa dengan memastikan kelangsungan ekonomi dalam menangani pandemik Covid-19.

Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyertai Perbincangan Meja Bulat Pemimpin Komanwel Rantau Asia dipengerusikan Putera Diraja Wales, Putera Charles yang berlangsung secara maya semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, dalam sesi berkenaan yang turut dihadiri Presiden Maldives dan Sri Lanka serta Perdana Menteri Bangladesh dan Singapura itu, Muhyiddin turut membincangkan usaha yang dilaksanakan di dalam menjana ekonomi kitaran (Circular Economy) di dalam rancangan pembangunan Malaysia.

Katanya, usaha tersebut sebagai salah satu pendekatan untuk mendorong perubahan sistemik ke arah penjanaan peluang pekerjaan dan perniagaan hijau yang lebih berdaya tahan.

“Perdana Menteri juga menekankan kejayaan Malaysia dalam menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam matawang Dolar AS, yang mana hasil daripada penerbitan sijil kewangan Islam ini akan membiayai projek hijau sejajar dengan Agenda Pembangunan Lestari 2030,” katanya di sini hari ini.

Sesi Meja Bulat tersebut turut disertai Presiden Rwanda merangkap bakal Pengerusi Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), Perdana Menteri United Kingdom dan Setiausaha Agung Komanwel.

Jelas kenyataan itu, perbincangan meja bulat tersebut antara lain turut membincangkan isu-isu utama yang boleh ditangani Komanwel, seperti isu-isu berkaitan pendekatan pemulihan hijau, peralihan ekonomi hijau dan tindakan kolektif menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26).

Pada masa sama, katanya, platform berkenaan membuka peluang kepada para pemimpin untuk berkongsi inisiatif dan amalan baharu dalam usaha mereka mengembalikan dan mempercepatkan pemulihan ekonomi disebabkan wabak Covid-19 melalui inisiatif ekonomi kitaran; transformasi industri karbon dan pembiayaan hijau yang mampan.

“Putera Charles turut menggalakkan pemimpin Komanwel mendorong sektor swasta menyertai Inisiatif Pasaran Mampan yang dipimpin sendiri beliau, dijangka berkemampuan membantu syarikat-syarikat swasta beralih ke perniagaan berasaskan ekonomi hijau yang lebih cekap dan mesra alam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya