KPDNHEP gerakkan 2,262 pegawai laksanakan Op Had 2J

KPDNHEP gerakkan 2,262 pegawai laksanakan Op Had 2J

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara menerusi operasi had 2 jam (Ops Had 2J) bagi memantau dan memastikan pematuhan had masa pelanggan di premis perniagaan.

KPDNHEP menerusi kenyataan memaklumkan, operasi khas itu bermula hari ini melibatkan jalinan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, Ops Had 2J memberi tumpuan kepada premis pasar raya, kompleks beli-belah, pasar tani, pasar malam dan lain-lain premis yang sering menjadi tumpuan orang ramai dan merupakan hotspot pelanggan.

“Ops Had 2J ini diadakan untuk mengelakkan kewujudan pelanggan-pelanggan terlalu ramai yang akan menyebabkan berlakunya kesesakan dan boleh menyebabkan pelanggan-pelanggan lain terpaksa menunggu masa lebih lama.

“Tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mana-mana pelanggan yang melanggar had masa maksimum ini berdasarkan kuasa yang diberikan kepada KPDNHEP,” katanya hari ini.

Katanya lagi, untuk memastikan keberkesanan had masa maksimum itu, orang ramai digalakkan merancang perjalanan dan menyenaraikan barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu.

“Selain daripada pematuhan had masa maksimum dua jam, semua pihak sama ada pengguna dan peniaga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lain yang sedia ada.

“KPDNHEP juga memohon kerjasama pihak-pihak pengurusan kompleks, pasar raya, agensi dan sebagainya supaya memainkan peranan masing-masing kearah memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap perkara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN