ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan melibatkan semua wakil rakyat di negeri ini pada minggu depan seperti yang dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri memberi jaminan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu akan diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, pihaknya menjunjung titah Sultan Ibrahim agar semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini mengadakan perbincangan berhubung kebajikan rakyat Johor.
“Perbincangan ini akan lebih memperkukuh dan menambah baik segala usaha yang telah dan akan diambil kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membendung pandemik Covid-19.
“Ini termasuklah meningkatkan kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sedia ada dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah agar semua Ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini berbincang berhubung situasi semasa Covid-19 yang semakin meningkat khususnya di negeri ini.
Sementara itu, Hasni berkata, meskipun Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa, pihaknya akan memastikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri melihat kelancaran perbincangan tersebut.
Sementara itu, pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor turut menyuarakan komitmen mereka bagi memenuhi titah tersebut demi menyelamatkan penduduk negeri ini daripada ancaman wabak Covid-19.
Pihaknya dalam satu kenyataan bersama memberitahu, mereka bersedia untuk mengadakan perbincangan tersebut.
“Langkah seumpama ini memang telah pihak kami cadangkan berulang kali kepada kerajaan negeri Johor agar diusahakan ke arah tersebut,” ujar kenyataan yang ditandatangani Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong. – UTUSAN