PETALING JAYA: Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung kemalangan melibatkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, masyarakat perlu memberi ruang pasukan penyiasat khas yang diwujudkan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Justeru itu, kata beliau, dalam tempoh tersebut orang ramai atau sesiapa juga jangan mencuba menimbulkan sebarang spekulasi, andaian dan pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta ketenteraman awam.
“Biar pihak berkenaan menjalankan siasatan terlebih dahulu,” katanya di sini hari ini.
Dalam insiden itu, dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung mengakibatkan beberapa penumpang mengalami kecederaan.
Prasarana menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81.
Video dan gambar mengenai insiden itu turut tular di media sosial yang memperlihatkan penumpang bergelimpangan dan ada yang mengalami kecederaan parah. – UTUSAN ONLINE










