PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan pemulihan prestasi kewangannya pada suku pertama tahun ini susulan tanda-tanda pemulihan yang ditunjukkan oleh aset lapangan terbangnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISGIA), Istanbul.
Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Salleh berkata, operasi ISGIA di Turki menunjukkan pemulihan pantas selepas berdepan dengan impak pandemik Covid-19 yang melanda bermula tahun lalu.
“Operasi lapangan terbang milik penuh MAHB di luar negara itu menunjukkan tanda pemulihan positif dengan mencatatkan 4.2 juta penumpang pada suku pertama tahun ini berbanding purata 1.3 juta penumpang sebulan dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
“Faktor muatan bulanan ISGIA turut meningkat kepada 74 peratus pada Mac, hanya sembilan peratus berbeza berbanding prestasi yang direkodkan pada 2019,” katanya dalam kenyataan.
Namun, jelasnya, disebabkan krisis Covid-19 masih berlarutan, trafik penumpang MAHB menurun 76.9 peratus kepada 5.9 juta penumpang pada suku pertama ini.
Katanya, krisis kesihatan ekonomi global itu juga menyebabkan kumpulan tersebut mengakhiri suku tahunan dengan penurunan pendapatan sebanyak 63.9 peratus kepada RM336.9 juta.
Ujarnya, syarikat itu turut merekodkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM221.3 juta.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukrie memberitahu, bagi memastikan industri penerbangan kembali pulih, salah satu pemacu utama adalah kepantasan setiap negara termasuk Malaysia mencapai imuniti kelompok terhadap pandemik ini.
Menurut beliau, seperti yang berlaku di United Kingdom (UK) apabila berlaku kepantasan pemberian vaksin, terdapat hubungan terbalik antara kadar pencegahan melalui vaksin serta kadar jangkitan.
“Langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasi dengan mendapatkan lebih banyak vaksin akan membantu Malaysia mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun.
“Ia juga akan membuka jalan kepada pemulihan yang lebih pantas,” katanya. – UTUSAN ONLINE










