Indeks nilai seunit import, eksport meningkat pada Mac - Utusan Malaysia

Indeks nilai seunit import, eksport meningkat pada Mac

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks nilai seunit eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif 2.2 dan 2.3 peratus bulan ke bulan pada Mac lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks seunit eksport meningkat didorong kenaikan semua seksyen terutamanya minyak galian (+8.3%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+4.0%) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.0%).

Ujarnya, indeks volum eksport turut mencatatkan trend yang sama dengan kenaikan dua digit 17.3 peratus, disumbangkan oleh pertumbuhan indeks barang-barang keluaran kilang (+31.4%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+25.4%) serta pelbagai barang keluaran kilang (+18.3%).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim merekodkan pertumbuhan kecil 0.3 peratus daripada 162.7 mata kepada 163.1 mata. Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 2.3 dan 28 peratus,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambah beliau, indeks nilai seunit import naik satu peratus pada Mac berbanding bulan sebelumnya, dipacu prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak galian (+4.7%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.7%) serta barang-barang keluaran kilang (+0.5%).

“Sementara itu, indeks volum import bertumbuh 14.8 peratus pada Mac berbanding bulan sebelum, yang disumbangkan oleh pengembangan indeks bahan kimia (+23.0%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+14.8%) dan barang-barang keluaran kilang (+13.7%).

“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Mac berkembang 3.3 peratus daripada 157.2 mata kepada 162.4 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut kecil 0.5% manakala indeks volum import meningkat 19.8 peratus,” jelasnya.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 1.2 peratus bulan ke bulan daripada 101.5 mata kepada 102.8 mata pada Mac lalu dan terma perdagangan negara turut kekal positif 2.9 peratus daripada 99.9 mata pada Mac tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya