fbpx

7 Mei 2021, 9:38 pm

  TERKINI

Honda perkenal Civic generasi ke-11

REKA bentuk prototaip Honda Civic 2022 yang didedahkan pada November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Honda memperkenalkan reka bentuk baharu model Civic generasi ke-11 yang lebih matang dan eksklusif minggu lalu melalui video pratonton di saluran Youtube rasminya.

Model yang digelar sebagai Honda Civic 2022 itu menampilkan reka bentuk yang moden dan berteknologi tinggi selain rekaan dalaman yang berpusatkan manusia dan sistem keselamatan canggih.

Model tersebut pertama kali didedahkan kepada umum pada November lalu dalam versi prototaip dan rupa baharunya ternyata tidak banyak berbeza dengan versi tersebut.

Portal Overdrive memuji peningkatan tumpuan terhadap ciri minimalis dalam reka bentuk baharu tersebut.

Menurut portal tersebut, papan pemuka model itu dilihat kalis cap jari, mempunyai kawalan iklim fizikal baharu, set didik hibur 9 inci, paparan pemandu digital 10.2 inci, pengecasan tanpa wayar, tempat duduk baharu dan lohong pendingin udara yang tersorok di belakang jejaring di sepanjang papan pemuka.

Honda berkata, model terbaharu tersebut akan mengandungi ciri-ciri termasuk enjin bercas turbo 180-hp; sistem pemanduan tiga mod dengan mod sport; penanjak pedal; dan sistem bunyi Bose Premium.

Menambahkan keistimewaan model tersebut, ia turut mempunyai Apple CarPlay tanpa wayar; integrasi Android Auto; penggayaan potongan sport dan sistem maklumat titil buta dengan pengawasan lintas trafik.

Model itu turut dilengkapi teknologi Standard Honda Sensing yang dilengkapi Sistem Brek Cegah Langgar (CMBS) dan Sistem Cegah Keluar Lorong (RDM).

“Piawaian untuk semua sedan Civic, suit Honda Sensing bagi keselamatan dan teknologi bantuan pemandu direka untuk memberi amaran tentang perkara yang mungkin anda terleka ketika memandu.

“CMBS boleh menghentikan kenderaan anda dengan mengenakan tekanan brek secara automatik apabila sistem menentukan bahawa pelanggaran hadapan tidak dapat dielakkan.

“RDM boleh menentukan jika akan melintasi laluan yang dikenal pasti tanpa memberi isyarat, memberikan bantuan kemudi untuk mengembalikan anda ke laluan asal atau memberikan bantuan brek bagi mengelakkan anda terkeluar dari lorong sepenuhnya,” katanya.

Model tersebut dijangka berada di pasaran Malaysia pada tahun hadapan. – UTUSAN ONLINE