PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap UEM Edgenta Bhd. (Edgenta) dan meningkatkan harga sasaran saham (TP) syarikat daripada RM2 kepada RM2.53.
Dalam nota penyelidikan, HLIB berkata, penceburan Edgenta dalam penjagaan kesihatan digital menerusi pelancaran QuickMed iaitu platform digital amalan penjagaan kesihatan telah meningkatkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2021-2022 di antara 52.7 hingga 65.5 peratus.
Bank pelaburan itu berkata, perniagaan teras pada masa ini melibatkan kemudahan pengurusan untuk sektor penjagaan kesihatan dan infrastruktur yang menyumbang antara 35 hingga 45 peratus daripada pendapatan sejak lima tahun lalu.
“Selepas kejayaan Edgenta mengguna pakai teknologi dalam operasi perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan mereka, penjagaan kesihatan digital adalah langkah logik seterusnya.
“Namun, kami berpendapat syarikat perlu dapatkan pangkalan pengguna yang cukup besar sebelum usaha ini memberikan pulangan,” katanya.
Selain itu, HLIB turut memaklumkan, penyelesaian digital QuickMed merangkumi penyimpanan data di awan, penmbayaran bil automatik dan banyak lagi.
Katanya, ini merupakan model perniagaan jangka panjang yang berpotensi. Kami yakin QuickMed akan menjadi permulaan untuk perjalanan penjagaan kesihatan digital yang komprehensif.
“Walaupun masih belum jelas, mungkin syarikat akan menggunakan strategi bayaran langganan daripada penyedia perkhidmatan kesihatan yang menggunakan platform QuickMed untuk operasi, menjual produk perubatan kepada pengguna secara dalam talian, mengenakan bayaran untuk perkhidmatan tambah nilai dalam platform seperti perundingan maya.
“Mereka juga mungkin mengenakan yuran rujukan ke klinik, menjual pakej keahlian kepada pengguna dan menjual pakej kesihatan kepada pengguna,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











