Mayat remaja ditemukan selepas lebih sehari terlibat nahas

Mayat remaja ditemukan selepas lebih sehari terlibat nahas

MAYAT mangsa kemalangan dibawa naik ke tebing dari tali air di Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Pasir Salak, Perak hari ini. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Mayat seorang remaja lelaki ditemukan selepas hampir 30 jam terlibat dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, mangsa, Muhammad Syahir Sufi Shamshol Alam, 18, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan masuk ke dalam tali air berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa yang parah di kepala ditemui dalam tali air tersebut pada jarak 300 meter dari lokasi nahas pada pukul 11.45 pagi.

“Pihak polis menerima maklumat hari ini tentang sebuah motosikal jenis Yamaha LC terbabas dan masuk ke dalam tali air.

“Operasi mengesan mangsa segera dijalankan bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampong Gajah dibantu penduduk setempat di kawasan kemalangan dan sekitar tali air tersebut.

“Mangsa kemudiannya berjaya dijumpai dalam sungai pada jarak 300 meter dari kawasan kemalangan dan di bawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan itu semalam, kira-kira pukul 6 pagi. 

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, nahas berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Ulu Dedap ke Bota Kiri sebelum motosikal ditunggangnya terbabas dan masuk ke tali air.

“‘Punca kemalangan dipercayai akibat terbabas sendiri dan kes siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya