Liga Super sudah berkubur - Utusan Malaysia

Liga Super sudah berkubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Juventus, Inter Milan dan AC Milan bersama pendahulu La Liga, Atletico Madrid akhirnya ‘mengaku kalah’ apabila menyertai jejak enam gergasi Liga Perdana Inggeris menarik diri daripada Liga Super Eropah (ESL) hari ini.

Penarikan diri Manchester City, Manchester United, Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Tottenham hadir hanya 48 jam selepas liga itu diperkenalkan, Ahad lalu yang mencetus kemarahan serta bantahan dari penyokong serta pelbagai pihak.

Juara Eropah 13 kali, Real Madrid dan seteru utamanya di Sepanyol, Barcelona bagaimanapun belum menyatakan pendirian mereka mengenai projek berkenaan.

Milan, antara ‘watak utama’ di sebalik rancangan penubuhan liga mewah itu tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara sejak tujuh musim lalu.

Juara Eropah tujuh kali itu berkata, perubahan perlu dilakukan dalam landskap bola sepak, namun mereka perlu ‘sensitif dengan suara pecinta bola sepak’.

Juara Itali, Juventus pula berkata, mereka masih ‘yakin dengan projek berkenaan, nilai komersial serta undang-undang’ tetapi menerima hakikat ia tidak boleh diteruskan dalam format asal.

ESL menjamin kemasukan automatik kepada kelab yang dianggap ‘pengasas’ kejohanan, selain melibatkan hadiah kemenangan berbilion ringgit.

Kebanyakan pasukan berdepan masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19, dan tawaran hadiah yang lumayan dilihat mampu membantu mereka membayar hutang serta perbelanjaan lain.

Bagaimanapun projek itu menerima bantahan besar-besaran daripada peminat, pemain, jurulatih, ahli politik badan bola sepak Eropah serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pemilik Liverpool, John W. Henry turut memohon maaf kepada penyokong dan kelab kerana menjadi sebahagian daripada yang ‘merestui’ rancangan Liga Super selepas kapten mereka, Jordan Henderson menegaskan, pemain tidak mahu rancangan diteruskan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya