Sultan Perak perkenan jumlah jemaah solat ikut kapasiti masjid

Sultan Perak perkenan jumlah jemaah solat ikut kapasiti masjid

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini menerima jemaah mengikut keluasan dewan solat dan mengikut penjarakan sosial yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kebenaran itu akan berkuat kuasa mulai solat Maghrib pada Khamis ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, ketetapan itu dibuat baginda dipersembahkan dan berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan garis panduan operasi (SOP) yang ditetapkan serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Beliau berkata, Sultan Nazrin juga berkenan menitahkan semua surau, termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang, mendirikan solat Jumaat supaya seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat.

“Kuliah ilmu juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau, dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuk waktu solat Isyak dan dihentikan sebaik masuk waktu solat.

“Ia juga dibenarkan tidak melebihi 30 minit, kepada jemaah yang berada dalam masjid dan surau sementara menanti azan solat Jumaat dan tidak lebih 30 minit selepas selesai menunaikan solat Subuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Annuar berkata, mereka yang dibenarkan berjemaah di masjid dan surau untuk solat Jumaat hanyalah jemaah lelaki sahaja, warganegara dan penduduk tetap Malaysia, berusia 12 tahun ke atas manakala bagi solat fardu dibenarkan jemaah lelaki dan wanita, warganegara dan penduduk tetap berusia 12 tahun ke atas.

Katanya, kumpulan berisiko tinggi terutama kalangan yang menghidap penyakit tertentu dan sedang melalui rawatan perubatan, dinasihatkan untuk tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau sebagai langkah penghindaran demi mengelakkan berlakunya komplikasi kesihatan.

Beliau berkata, sebarang majlis jamuan dalam masjid dan surau, merangkumi perkarangan masjid dan surau masih tidak dibenarkan.

“Sebarang aktiviti, termasuk mendirikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau yang terletak dalam kawasan yang diisytiharkan berada dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga tidak dibenarkan.

“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan; memastikan jarak fizikal antara jemaah senantiasa dipatuhi, terutama aliran jemaah masuk dan keluar bangunan masjid dan surau. 

“Untuk memastikan jarak fizikal diamalkan dan untuk mengelak kesesakan yang diperhatikan sering berlaku ketika jemaah mencari kasut selepas selesai menunaikan solat, jemaah dinasihatkan membawa beg menyimpan kasut yang membolehkan jemaah membawa kasut ke dalam masjid dan surau,” katanya.

Mohd. Annuar berkata, perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19.

Katanya, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak Covid-19 ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya