Siasat segera gangguan seksual di SJR - Utusan Malaysia

Siasat segera gangguan seksual di SJR

RINA MOHD HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat segera berhubung kes gangguan seksual di Sekatan Jalan Raya (SJR) seperti dilaporkan agar mangsa diberikan pembelaan dan pelaku diambil tindakan undang-undang jika dibuktikan bersalah.

Menterinya Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, perbuatan terkutuk itu sama sekali tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi jika ia melibatkan anggota penguat kuasa.

“Dalam mengendalikan isu ini, saya amat berharap semua pihak saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi PDRM yang telah banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara.

“Saya juga ingin menegaskan pendirian dan komitmen kementerian untuk meneruskan penggubalan sebuah perundangan khusus berkaitan gangguan seksual yang kini drafnya sedang dalam semakan kerajaan untuk dibentangkan di Parlimen nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes di Jalan Duta, Kuala Lumpur, seorang wanita mendakwa ditanya oleh anggota polis sama ada dia memakai pakaian dalam atau sebaliknya selain memberi jaminan tidak akan mengeluarkan saman jika dia boleh membuktikan sama ada memakai pakaian dalam atau tidak.

Bagaimanapun, polis telah merekod keterangan wanita tersebut yang mengalami situasi itu ketika melalui SJR berhampiran plaza tol di ibu negara.

Rina berkata, perundangan khusus itu penting dan bersifat saling melengkapi kepada undang-undang sedia ada agar isu gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih berkesan dan mampu melindungi mangsa, tanpa mengira wanita mahupun lelaki.

Pada masa sama, beliau menyeru semua rakyat Malaysia khususnya golongan wanita agar tampil membuat laporan sekiranya berhadapan dengan sebarang bentuk gangguan seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau melalui pelbagai isyarat oleh pelaku.

Katanya, Kementerian sedia membantu dan orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

“Sama-samalah kita untuk terus mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain dan berganding bahu membanteras perbuatan gangguan seksual serta menghapuskan segala bentuk keganasan dan diskriminasi berasaskan gender ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.