Bidaan UR1 bermula RM300,000, Unimap lancar nombor plat khas - Utusan Malaysia

Bidaan UR1 bermula RM300,000, Unimap lancar nombor plat khas

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kiri) dan R. Badlishah Ahmad (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran nombor plat khas Unimap di Auditorium Bangunan Canselori Kampus Alam, Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan siri nombor pendaftaran khas universiti berkenaan.

Siri UR1 hingga UR9999 itu boleh dibida bermula hari ini hingga 4 Mac depan dengan nombor pendaftaran UR1 bermula dengan nilai bidaan sehingga RM300,000.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan penjualan siri nombor pendaftaran tersebut mampu mencecah sehingga RM10 juta dengan proses bidaan itu dikendalikan syarikat yang dilantik iaitu Aquatwo Sdn. Bhd.

“Syarikat Aquatwo bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan ejen pemasaran, promosi dan sistem jualan/bidaan nombor plat khas berkenaan.

“Bagi sesiapa yang berminat bolehlah melayari laman sesawang www.urplat.com bagi mengikuti perkembangan untuk membida nombor pendaftaran UR ini,” katanya pada majlis pelancaran nombor plat khas Unimap di Auditorium Bangunan Canselori Kampus Alam, Pauh Putra di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Canselor Unimap berkenan hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Raja Datuk Azwane Raja Ariff; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah dan Ketua Pegawai Eksekutif Aquatwo Sdn Bhd, Datuk Muqharabbin Mokhtaruddin.

Tambah R. Badlishah, meskipun Unimap bukanlah menjadi universiti pertama yang melancarkan nombor pendaftaran khas tersebut, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Sesuatu yang unik ditawarkan oleh Unimap adalah apabila kami memilih melancarkan siri nombor pendaftaran UR.

“Kombinasi kedua huruf UR ini diambil bagi mewakili huruf U yang merupakan awalan perkataan Unimap manakala R merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri ini yang juga identiti negeri Perlis,” katanya.

Tambahnya , penjualan tersebut bermula susulan hasrat dan inisiatif kerajaan menerusi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara yang menyasarkan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri.

Katanya, inisiatif tersebut juga membantu menguruskan pengoperasian universiti dengan lebih berkesan dan pada masa sama menjaga kebajikan pelajar yang merupakan pemegang taruh utama universiti.

Sebagai rekod, universiti lain yang telah melancarkan nombor pendaftaran khas itu ialah Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan lain-lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.