79 pekebun kecil nanas rugi RM2.9 juta akibat banjir - Utusan Malaysia

79 pekebun kecil nanas rugi RM2.9 juta akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Banjir yang melanda negara awal tahun ini menyebabkan seramai 79 pekebun kecil nanas menanggung kerugian mencecah RM2.9 juta akibat kawasan tanaman mereka seluas 62.55 hektar rosak.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kawasan terjejas melibatkan 20 daerah dari enam negeri.

Katanya, negeri paling teruk terjejas adalah Pahang dengan nilai kerugian RM2 juta, diikuti Johor RM760,000 selain Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor.

“Laporan melibatkan pekebun kecil yang terjejas ini telah dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi tujuan permohonan bantuan bawah Tabung Bencana Pertanian.

“Tabung ini menyediakan peruntukan RM80 juta dan jumlah yang kita mohon khusus untuk membantu pekebun kecil terjejas banjir adalah RM2.9 juta,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu pejabat LPNM, di sini hari ini.

Tambah Dr. Sahruddin, pihaknya berharap bantuan berkenaan akan dapat membantu pekebun kecil yang terjejas untuk memulihkan tanaman mereka bagi terus memenuhi permintaan pasaran dalam atau luar negara.

Katanya, pada tahun 2019, Malaysia mengeksport produk nanas bernilai RM492 juta ke lebih 20 buah negara, peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding RM343 juta yang direkodkan pada 2018.

Antara yang dieksport termasuklah buah nanas segar, buah nanas dalam tin, jus nanas dan lain-lain.

“Setakat ini, negara paling tinggi mengimport nanas Malaysia ialah Singapura, tetapi permintaan dari China semakin meningkat diikuti Jepun, Arab Saudi serta Mesir.

“Setiap negara mempunyai permintaan melibatkan jenis buah nanas yang berbeza. Mengambil contoh, China sukakan nanas jenis MD2 manakala negara Timur Tengah pula mahukan nanas jenis N36,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya masih berunding untuk memuktamadkan kerjasama dengan platform e-dagang bagi memperluaskan lagi pasaran produk usahawan nanas tempatan.

“Perkara ini masih dalam rundingan sebelum ianya dapat dimuktamadkan, kerjasama ini melibatkan beberapa platform e-dagang termasuklah Shopee Malaysia,” katanya.

Kerjasama itu sebelum ini dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPNM, Mohd. Khairuzamri M. Salleh pada Disember lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.