fbpx

2 wakil Malaysia lepasi halangan awal Terbuka Thailand

S. KISONA

KUALA LUMPUR: Dua wakil negara berjaya melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Thailand, hari ini.

Saingan hari pertama kejohanan Siri Jelajah Dunia Super 1,000 itu menyaksikan perseorangan wanita negara, S. Kisona mara selepas menewaskan pemain Mesir, Doha Hany 21-10, 21-7 sekali gus menebus kekecewaan minggu lalu apabila tewas kepada bintang India, Saina Nehwal pada pusingan pertama.

Dalam aksi Terbuka Thailand pertama minggu lalu, pemenang pingat emas Sukan SEA itu diberikan kemenangan percuma selepas Saina disahkan positif Covid-19 namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menarik balik kemenangan itu dengan membenarkan lawannya itu beraksi selepas ujian kedua didapati negatif.

Turut melangkah ke pusingan kedua kejohanan bernilai AS$1 juta (RM4.04 juta) itu ialah pasangan beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen selepas mengetepikan cabaran Chloe Birch-Lauren Smith 21-14, 21-14.

VIVIAN Hoo (kanan) dan Yap Cheng Wen.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi pasangan muda Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila tunduk 21-13, 13-21, 17-21 kepada wakil tuan rumah, Supak Jomkoh-Kittinupong Kendren sekali gus gagal mengulangi pencapaian suku akhir yang diraih mereka minggu lalu.

Akan turun beraksi selepas ini ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Pemain No.1 Malaysia, Lee Zii Jia juga akan turun beraksi menentang Sameer Verma manakala Soniia Cheah akan berdepan cabaran Sung Ji Hyun.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN