RANTAU PANJANG : Seorang nenek sanggup meredah air banjir paras dada semata-mata mahu membawa cucunya berusia setahun berpindah selepas rumah mereka di Kampung Gual Tok Deh, di sini ditenggelami air.
Norizah Mohd. Nor, 44, yang mendukung cucunya bukan sahaja meredah air banjir sejauh 500 meter, malah perlu berjalan 500 meter lagi sebelum tiba di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh.
Norizah berkata, kepenatan yang diharungi itu hilang sekelip mata sejurus selamat tiba di PPS bersama Muhammad Aqif Amshar Zuhaimi, 1, dan anaknya Nurul Atiqah Ab. Rashid,20.
“Alhamdulillah, kami semua tiba dengan selamat di PPS pada pukul 8 pagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norizah memberitahu, hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan kawasan rumahnya ditenggelami banjir susulan limpahan air Sungai Golok.
Katanya, tindakan awal itu diambil bagi mengelakkan dia dan keluarganya berdepan masalah besar di hari kemudian.
“Melihat situasi cuaca semasa yang tidak menentu, saya mengambil keputusan berpindah lebih awal.
“Lagipun air di dalam rumah sudah mencecah paras pinggang,” ujarnya.
Turut berpindah bersama Norizah adalah sebuah lagi keluarga selepas rumah mereka ditenggelami banjir.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my setakat pukul 4 petang menunjukkan bacaan air Sungai Golok berapa pada 9.4 meter sekali gus sudah melepasi paras bahaya. – UTUSAN ONLINE