Sapura Kencana Marine didenda gagal lapor kemalangan pekerja - Utusan Malaysia

Sapura Kencana Marine didenda gagal lapor kemalangan pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sapura Kencana Marine Sdn. Bhd. hari ini didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung kerana gagal menghantar laporan kemalangan pekerja kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Majistret A. Hafizh Abu Bakar turut memerintahkan syarikat berkenaan untuk melaporkan kemalangan tersebut kepada Perkeso dalam tempoh 14 hari daripada tarikh hari ini.

Perbicaraan kes tersebut dikendalikan Ketua Pendakwaan Perkeso, Yuzain Md. Razak @ Mohd Yusof.

Pendakwaan mengambil masa selama tiga tahun sejak 2017 dan seramai lapan saksi dipanggil untuk memberikan keterangan.

Perkeso dalam kenyataannya hari ini berkata, pekerja terlibat, Abdul Rahman Salleh ditimpa kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja pada 9 November 2016.

Menurut kenyataan itu, pihak syarikat bagaimanapun enggan melaporkan kemalangan tersebut atas alasan Abdul Rahman adalah kontraktor bebas dan bukan seorang pekerja seperti yang dimaksudkan di bawah Seksyen 2(5) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Semasa perbicaraan, Sapura Kencana Marine Sdn. Bhd. telah membangkitkan isu kewujudan Perjanjian Kontraktor Bebas yang antara lain menyatakan bahawa Abdul Rahman adalah seorang kontraktor bebas dan bukannya pekerja.

“Bagaimanapun, pihak mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwa bahawa dalam isu memutuskan status kontrak perkhidmatan, mahkamah tidak terikat dengan apa-apa label tetapi melihat kepada fungsi dan tugas pekerja tersebut secara terperinci,” ujar kenyataan Perkeso di sini hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Perkeso berharap agar keputusan mahkamah itu memberi peringatan kepada semua majikan agar sentiasa mematuhi peruntukan-peruntukan di bawah Akta 4

Katanya, syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas diharap akan lebih peka dan memberi perhatian kepada kebajikan dan keselamatan sosial pekerja-pekerja mereka.

“Pihak Perkeso akan sentiasa berusaha mempertingkatkan aktiviti-aktiviti kesedaran dan pematuhan kepada semua majikan.

“Usaha ini bagi memastikan hak dan kepentingan pekerja sentiasa dilindungi dan diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.