Dilema 20 tahun ‘intifada kedua’ - Utusan Malaysia

Dilema 20 tahun ‘intifada kedua’

GAMBAR fail bertarikh 24 Oktober 2000 menunjukkan kanak-kanak berselindung di sebalik atap zink ketika pertempuran di Khan Younis, Semenanjung Gaza. Sejak intifada kedua, penduduk Palestin berdepan pelbagai tekanan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: “Di sini kami tidak mempunyai masa depan.”

Demikian kata Saja Emad, penduduk Gaza berusia 20 tahun ketika diajak berbicara mengenai Palestin, dua dekad selepas gerakan intifada kedua digerakkan bagi menentang rejim Zionis.

Menurut Saja, sekatan demi sekatan yang dihadapi membuatkan mereka semakin terperangkap di bumi sendiri.

“Hamas dan Fatah pula berpecah-belah. Tiada pekerjaan untuk orang muda. Kami kecewa dan tidak lagi mempunyai harapan melihat (penubuhan) negara Palestin dalam waktu terdekat ini,” katanya.

Apa yang dikatakan Saja bertepatan data Bank Dunia yang menyebut, penduduk menghadapi hidup yang jauh lebih buruk dengan sekatan Israel menyebabkan bekalan tenaga elektrik ‘kejap ada kejap tiada’, kekurangan air bersih dan kadar pengangguran belia mencapai 65 peratus.

Tentera Israel menguasai 60 peratus Tebing Barat dan penduduk Palestin ‘tidak mampu bersuara’ bagaimana penjajahan rejim Zionis dianggap normal selama beberapa dekad ekoran perjanjian Oslo.

Dua dekad selepas intifada kedua itu, penduduk Palestin yang membesar dalam dunia konflik dengan rejim Zionis mendapati diri mereka dikeli­lingi halangan fizikal dan politik untuk masa depan yang merdeka.

Di kem pelarian Jenin, utara Tebing Barat yang dijajah Israel, tembok-tembok dipenuhi pos­ter menunjukkan lelaki muda Palestin melilit leher de­ngan kain serban dan memegang senapang AK-47.

“Ketika melalui kem pela­rian itu, saya cuba mengingati memori lama dengan apa yang saya lihat hari ini,” kata Nidal Naghnaghyey Turkeman, 48, yang menghabiskan 17 tahun dalam penjara kerana berpe­ranan dalam pemberontakan.

Dia ‘berperang’ bersama Fatah pada intifada pertama (1987 sehingga 1993) yang telah mempercepatkan proses ke arah perjanjian Oslo.

 

HIJRAH ATAU TEMPUR

Intifada kedua tercetus ketika pemimpin pembangkang Israel ketika itu, Ariel Sharon mengunjungi perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur pada 28 September 2000.

Langkah itu dilihat sebagai provokasi oleh rakyat Palestin sehingga menyebabkan ‘perbalahan ganas’.

Sebagai tindak balas, Israel menduduki kembali sebahagian besar Tebing Barat dan mulai membangun tembok pemisah.

Kem pelarian Jenin terpe­rangkap dalam keganasan dan pada 2002, kem itu dikepung pasukan bersenjata Israel selama lebih sebulan.

Nidal yang kehilangan dua saudaranya dalam pertempuran itu dihukum penjara ke­rana memainkan peranan dalam sera­ngan terhadap Israel.

Anak perempuan kembar­nya, Yara dan Sara, dilahirkan beberapa minggu sebelum kem itu dikepung Zionis.

Walaupun tidak berdepan intifada kedua, kedua-dua mereka menegaskan Nidal masih dianggap sebagai pahlawan oleh anak muda Palestin di Jenin.

“Bagaimanapun hari ini, kami masih dalam suasana intifada, ada serangan setiap hari, orang cedera. Tiada masa depan di sini, satu-satunya pilihan adalah sama ada berhijrah atau bertempur,” tegas Sara sambil disokong adiknya, Yara.

 

CABARAN GENERASI MUDA

Baru-baru ini, kepimpinan Palestin membantah perjanjian diplomatik yang ditandatangani Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain.

Seruan mereka supaya penduduk melancarkan protes gagal mendapat sokongan anak muda yang menurut penganalisis Ghassan Khatib, golongan itu seakan-akan berasa tera­sing daripada sebarang peranan dalam politik.

“Tiada pilihan raya selama 15 tahun dan dengan krisis ekonomi, orang muda lebih banyak memikirkan untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, pemuda Pa­lestin mulai memahami baik proses damai atau pertempuran bersenjata, semuanya mele­nyapkan harapan mereka.

Di Jenin, Oday, seorang tukang gunting rambut berusia 20 tahun berkata, keutamaannya ketika ini adalah mencari wang bagi menyokong keluarga dan berkahwin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.